- Iklan -
Luar Sana

Microsoft kritik UK sekat pembelian syarikat permainan AS

Keputusan tersebut menggoyahkan keyakinan syarikat itu untuk mengembangkan perniagaan teknologi di Britain pada masa depan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Logo Microsoft kelihatan di pejabat syarikat itu di Issy-les-Moulineaux dekat Paris, Perancis, 25 Januari. Gambar: Reuters
Logo Microsoft kelihatan di pejabat syarikat itu di Issy-les-Moulineaux dekat Paris, Perancis, 25 Januari. Gambar: Reuters

Presiden Microsoft Brad Smith mengkritik keputusan United Kingdom (UK) yang menyekat pembelian syarikat permainan Amerika Syarikat (AS) Activision oleh Microsoft dengan berkata Kesatuan Eropah (EU) merupakan lokasi yang lebih baik untuk memulakan perniagaan.

Pihak Berkuasa Persaingan dan Pasaran (CMA) UK pada Rabu menyekat rancangan Microsoft untuk membeli Activision Blizzard pada harga £55 bilion (hampir AS$69 bilion) disebabkan kebimbangan bahawa ia boleh menjurus kepada pengurangan inovasi dan pilihan untuk pemain dalam industri permainan awan yang berkembang pesat.

Agensi Anadolu melaporkan Smith bercakap kepada BBC bahawa langkah itu merugikan Britain dan menandakan "hari paling gelap" Microsoft di negara itu sepanjang sejarah empat dekadnya di sana.

"Ia lebih daripada menggoyahkan keyakinan kami untuk peluang masa depan bagi mengembangkan perniagaan teknologi di Britain daripada yang pernah kami hadapi sebelum ini," katanya.

"Orang ramai terkejut, orang ramai kecewa, dan keyakinan orang ramai terhadap teknologi di UK telah terjejas teruk.

"Ini memberi mesej yang jelas – Kesatuan Eropah merupakan tempat yang lebih menarik untuk memulakan perniagaan berbanding UK."

Badan pemantau UK itu bagaimanapun berkata ia perlu mengutamakan kepentingan orang ramai berbanding kepentingan komersial dalam membuat keputusan itu.

Ia berkata walaupun pengawal selia di AS dan EU masih belum membuat keputusan sama ada untuk meluluskan perjanjian itu, CMA berkata "Activision saling berkaitan dalam pasaran yang berbeza yang tidak boleh dipisahkan dengan UK. Oleh itu keputusan ini menghalang perjanjian dibuat di seluruh dunia."

Menerusi pemilikan Xbox, sistem pengendalian PC terkemuka (Windows), dan infrastruktur pengkomputeran awan global (Azure dan Xbox Cloud Gaming), Microsoft sudah mengawal anggaran 60 hingga 70 peratus pasaran permainan awan global.