- Iklan -
Luar Sana

Ketua PBB gesa pihak bertelagah di Sudan kembali ke meja rundingan

Katanya, pemimpin Sudan mempunyai tanggungjawab untuk mengutamakan kepentingan rakyat.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres. Gambar: Reuters
Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) António Guterres. Gambar: Reuters

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggesa anggota Majlis Keselamatan dan negara anggota PBB yang lain serta organisasi serantau yang berpengaruh supaya menekan pihak-pihak yang terlibat dalam konflik di Sudan meredakan ketegangan dan "kembali ke meja rundingan" dengan segera .

Berucap pada Majlis Keselamatan PBB pada Selasa, Guterres berkata pihak-pihak dalam konflik mesti menghormati gencatan senjata 72 jam yang diuruskan oleh Amerika Syarikat dan bersatu dalam menamatkan permusuhan.

Beliau berkata pemimpin Sudan mempunyai tanggungjawab untuk mengutamakan kepentingan rakyat.

"Konflik ini tidak akan dan tidak boleh diselesaikan di medan perang – dengan kematian rakyat Sudan.

"Rakyat Sudan telah menyatakan hasrat mereka dengan jelas. Mereka mahukan keamanan dan pemulihan pemerintahan awam melalui peralihan kepada demokrasi," katanya seperti dilaporkan Agensi Anadolu.

Guterres berkata keganasan dan huru-hara 10 hari lepas sangat menyayat hati, sambil menambah kesan daripada "perang berskala penuh yang berpanjangan tidak boleh dibayangkan."

Menyedari bahawa Sudan bersempadan dengan tujuh negara, yang kesemuanya telah menyaksikan konflik dan pergolakan awam, beliau berkata "ia adalah pintu masuk ke Sahel, di mana ketidakamanan dan ketidakstabilan politik memburukkan lagi situasi kemanusiaan yang sudah menjadi bencana."

"Pergelutan kuasa di Sudan bukan sahaja meletakkan masa depan negara itu dalam risiko malah boleh merebak merentasi sempadan dan menyebabkan penderitaan yang amat besar selama bertahun-tahun dan membantutkan pembangunan selama beberapa dekad," kata Guterres.

Beliau berkata "perbalahan mesti dihentikan segera sambil menekankan perlunya "usaha berhabis-habisan untuk menuju keamanan berkekalan."

"Saya menyeru pihak-pihak yang terlibat dalam konflik, Jeneral Abdel Fattah al-Burhan dan Mohamed Hamdan Daglo 'Hemedti,' dan Angkatan Bersenjata Sudan dan Rapid Support Forces meletakkan senjata."

Berikutan konflik yang tercetus di Sudan antara Angkatan Bersenjata Sudan (SAF) dan Rapid Support Forces (RSF) pada 15 April, Amerika Syarikat mengumumkan pada hari Isnin bahawa pihak yang bertelagah bersetuju untuk mematuhi gencatan senjata tiga hari di negara Afrika Utara itu.

Setakat pagi Selasa, sekurang-kurangnya 427 orang terbunuh dan lebih 3,700 cedera di Sudan.