- Iklan -
Luar Sana

Bekas ahli Parlimen India ditembak mati secara langsung di TV ketika dalam tahanan polis

Laporan mengatakan penyerang menyamar sebagai wartawan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pegawai polis mengiringi bekas ahli Parlimen India Atiq Ahmed yang dituduh dalam beberapa kes jenayah, di luar mahkamah di Prayagraj, India, 13 April. Gambar: Reuters
Pegawai polis mengiringi bekas ahli Parlimen India Atiq Ahmed yang dituduh dalam beberapa kes jenayah, di luar mahkamah di Prayagraj, India, 13 April. Gambar: Reuters

Seorang bekas ahli Parlimen India yang disabitkan dengan kesalahan menculik ditembak mati bersama abangnya ketika siaran langsung di televisyen pada Sabtu.

Pembunuhan itu berlaku sewaktu polis mengiringi mereka untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Rakaman siaran langsung pembunuhan itu dikongsi di seluruh saluran penyiaran dan media sosial.

Seorang lelaki bersenjata dilihat memaut bahu polis sebelum mengacukan pistol ke arah bekas ahli parlimen, Atiq Ahmed. 

Abangnya, Ashraf Ahmed, ditembak sejurus selepas itu.

Dalam rakaman lain, yang dirakam oleh rakan kongsi Reuters ANI, seorang lelaki bersenjata dilihat menembak berkali-kali ke arah mayat abangnya ketika mereka terbaring. 

Kedua-dua mangsa maut di tempat kejadian, manakala polis dengan pantas menahan tiga lelaki yang disyaki melakukan pembunuhan itu. 

Laporan media mengatakan penyerang menyamar sebagai wartawan. Seorang menyerah diri serta-merta selepas tembakan, manakala pegawai berjaya menangkap dua lagi suspek. 

Mereka adalah antara sekumpulan wartawan yang berkumpul ketika dua beradik itu, yang didakwa sebagai raja dalam sebuah pertubuhan jenayah tempatan, dibawa dari sebuah hospital di bandar Prayagraj, utara Uttar Pradesh pada petang Sabtu. 

Selepas melakukan pembunuhan itu, suspek lelaki bersenjata menjerit nyanyian agama Hindu. 

Seorang anggota polis cedera semasa serangan itu. 

Kerajaan Uttar Pradesh melarang perhimpunan lebih empat orang di seluruh negeri kerana bimbang kemungkinan berlaku pergolakan susulan pembunuhan itu.

“Kerajaan negeri mengenakan perintah sekatan selepas pembunuhan Atiq Ahmed dan Ashraf Ahmed yang merupakan ahli mafia terbesar yang terlibat dalam rampasan tanah dan beberapa kes pembunuhan,” kata seorang pegawai kanan polis. 

"Kami tidak mahu sebarang bentuk protes tercetus," kata pegawai itu dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan kerana beliau tidak diberi kuasa untuk bercakap kepada media. 

Kerajaan negeri, yang dikawal oleh parti nasionalis Hindu pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi, telah mengarahkan siasatan kehakiman terhadap pembunuhan itu. 

Minggu lalu polis menembak mati anak lelaki Atiq Ahmed di bandar Jhansi. Dia dikehendaki polis berhubung kes pembunuhan yang sedang disiasat sebagai sebahagian daripada tindakan kejam terhadap kumpulan mafia yang beroperasi di Uttar Pradesh.

Anggota polis di Uttar Pradesh telah membunuh lebih 180 individu yang disyaki penjenayah dalam tempoh enam tahun lalu. 

Ketua parti pembangkang Samajwadi, berkata pembunuhan bekas anggota partinya sewaktu dalam tahanan polis menunjukkan kegagalan Parti Bharatiya Janata yang memerintah membawa undang-undang dan ketenteraman ke Uttar Pradesh. 

“Apabila seseorang boleh terbunuh dalam tembakan secara rambang di tengah-tengah kawalan keselamatan polis, maka bagaimana pula dengan keselamatan orang awam,” tulis Akhilesh Yadav dari Samajwadi di Twitter. 

Sebelum kalah dalam pilihan raya pada 2014, Ahmed pernah menjadi ahli Parlimen di bawah parti Samajwadi, dan kemudian menyertai parti Apna Dal.