- Iklan -
Luar Sana

Amazon tingkat saingan AI terhadap Microsoft, Google, tawar teknologi awan baru

AWS akan menawarkan perkhidmatan dikenali sebagai Bedrock yang membolehkan perniagaan menyesuaikan apa yang dikenali sebagai model asas dengan data mereka sendiri bagi mencipta model unik.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Gambar fail logo untuk Amazon Web Services (AWS) dilihat pada persidangan perbankan dan kewangan SIBOS di Toronto, Ontario, Kanada, 19 Oktober 2017. Gambar: Reuters
Gambar fail logo untuk Amazon Web Services (AWS) dilihat pada persidangan perbankan dan kewangan SIBOS di Toronto, Ontario, Kanada, 19 Oktober 2017. Gambar: Reuters

Bahagian pengkomputeran awan Amazon.com Inc semalam melancarkan rangkaian teknologi khusus membantu syarikat lain membangunkan “chatbot” dan perkhidmatan penjanaan imej mereka sendiri yang disokong oleh kecerdasan buatan (AI). 

Microsoft Corp dan Alphabet Inc menambah “chatbot AI” kepada produk pengguna seperti enjin carian mereka, tetapi syarikat berkenaan juga mengintai satu lagi pasaran besar iaitu menjual teknologi asas kepada syarikat lain melalui operasi awan mereka. 

Amazon Web Services (AWS), penyedia pengkomputeran awan terbesar di dunia buat pertama kali mengumumkan rangkaian teknologi AI miliknya sendiri, tetapi dengan mengambil pendekatan yang berbeza.

AWS akan menawarkan perkhidmatan dikenali sebagai Bedrock. Ia membolehkan perniagaan menyesuaikan apa yang dikenali sebagai model asas – teknologi teras AI yang melakukan perkara seperti membalas pertanyaan dengan teks sama seperti manusia atau menjana imej – dengan data mereka sendiri bagi mencipta model unik. 

Pencipta ChatGPT OpenAI, sebagai contoh, menawarkan perkhidmatan yang sama, dengan membenarkan pelanggan mengubahsuai model di belakang ChatGPT bagi mencipta “chatbot” tersendiri.

Perkhidmatan Bedrock pula akan membenarkan pelanggan mengguna pakai model asas milik Amazon sendiri yang dikenali sebagai Amazon Titan, di samping akan menawarkan menu model yang ditawarkan oleh syarikat lain. 

Pilihan pihak ketiga pertama yang akan bergandingan dengan model Amazon itu didatangkan bersama syarikat pemula AI21 Labs, Anthropic dan Stability AI.

Perkhidmatan Bedrock membolehkan pelanggan AWS menguji teknologi tersebut tanpa perlu berurusan dengan server pusat data asas yang memberi kuasa kepada mereka. 

"Ia adalah perkara yang tidak diperlukan dari perspektif pengguna," kata Naib Presiden AI di AWS, Vasi Philomin kepada Reuters. 

"Di sebalik tabir, kita boleh mengabstrakkannya." 

Server asas tersebut akan menggunakan gabungan cip AI daripada Amazon sendiri serta cip daripada Nvidia Corp, pembekal cip terbesar bagi aktiviti AI tetapi cipnya telah mendapat bekalan yang terhad tahun ini. 

"Kami berjaya mendapatkan puluhan ribu, ratusan ribu cip ini, kerana kami memerlukannya," kata Naib Presiden Elastic Compute Cloud di AWS, Dave Brown mengenai cip syarikat itu.