- Iklan -
Luar Sana

Korea Utara lancar peluru berpandu balistik

Pyongyang telah melancarkan ujian senjata sejak awal tahun ini, termasuk apa yang didakwa media negaranya sebagai dron dasar laut berkuasa nuklear dan pelancaran dua peluru berpandu balistik antara benua.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Skrin TV memaparkan mesej amaran daripada kerajaan berikutan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara, di sebuah pejabat di Tokyo, Jepun, 13 April. Gambar: Reuters
Skrin TV memaparkan mesej amaran daripada kerajaan berikutan pelancaran peluru berpandu balistik oleh Korea Utara, di sebuah pejabat di Tokyo, Jepun, 13 April. Gambar: Reuters

Korea Utara melancar "peluru berpandu balistik" hari ini, kata tentera Seoul, mendorong Jepun mengeluarkan amaran kepada penduduk wilayah utara Hokkaido supaya mereka berlindung. 

"Korea Utara melepaskan peluru berpandu balistik ke Laut Timur," kata Ketua Turus Bersama Seoul, merujuk kepada Laut Jepun. Maklumat lanjut berkaitan insiden itu tidak dibutirkan.

Jepun turut mengesahkan pelancaran itu, dan memberitahu penduduk Hokkaido supaya "berpindah segera" dan mencari perlindungan di dalam bangunan atau bawah tanah.

Negara itu turut memberi amaran peluru berpandu itu dijangka mendarat sekitar jam 8 pagi waktu tempatan. 

Pegawai kerajaan tempatan di Hokkaido kemudian berkata, "tiada kemungkinan" peluru berpandu itu mengenai pulau tersebut. 

Pyongyang telah melancarkan ujian senjata sejak awal tahun ini, termasuk apa yang didakwa media negaranya sebagai dron dasar laut berkuasa nuklear dan pelancaran dua peluru berpandu balistik antara benua.

Korea Utara mendakwa telah menjalankan tiga ujian dron dasar laut – dikenali sebagai Haeil, yang bermaksud tsunami dalam bahasa Korea – dalam tempoh kurang tiga minggu setakat ini. 

Pyongyang juga mendakwa senjata itu mampu melepaskan "tsunami radioaktif".