- Iklan -
Luar Sana

Perisian pengintip buatan Israel diguna di 10 negara termasuk Singapura, menurut kajian

Selepas diletakkan pada telefon atau komputer pengguna, perisian pengintip ciptaan QuaDream itu mampu merakam audio perbualan telefon, merakam bunyi daripada mikrofon peranti, mengambil gambar dan menyelongkar fail dari peranti tanpa disedari pengguna.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Pintu masuk pejabat yang disenaraikan sebagai milik Quadream, terletak di sebuah bangunan tinggi di Ramat Gan, Israel, 25 Januari 2022. Gambar: Reuters
Pintu masuk pejabat yang disenaraikan sebagai milik Quadream, terletak di sebuah bangunan tinggi di Ramat Gan, Israel, 25 Januari 2022. Gambar: Reuters

Perisian pengintip baharu buatan Israel yang menyerupai program intipan terkenal, Pegasus telah digunakan untuk menyasarkan wartawan dan ahli politik pembangkang di beberapa negara, kata badan pemerhati Kanada semalam.

Perisian pengintip dan perisian berkaitan eksploitasi atau penggodaman dicipta oleh firma yang kurang dikenali QuaDream Ltd.

Ia ditubuhkan oleh bekas pegawai tentera Israel dan anggota veteran NSO Group yang mencipta Pegasus, menurut makmal Citizen Lab. 

Citizen Lab yang mengkaji penyalahgunaan teknologi digital itu, berkata ia mengenal pasti sekurang-kurangnya lima individu yang disasarkan oleh perisian pengintip dan eksploitasi QuaDream di Amerika Utara, Asia Tengah, Asia Tenggara, Eropah dan Asia Barat. 

"Mangsa termasuk wartawan, tokoh politik pembangkang dan pekerja NGO," katanya sambil menambah perisian tersebut tidak akan mengenal pasti mereka pada masa ini. 

Perisian pengintip seperti Pegasus telah digunakan secara meluas oleh kerajaan dan beberapa pelakon untuk mengintip pihak lawan, media dan aktivis.

Program ini boleh diletakkan pada komputer dan telefon bimbit dengan mencuri data dan mengeksploitasinya secara senyap, malah boleh meninjau serta menghantar maklumat pada telefon kepada pengendali tanpa disedari pengguna. 

Pada akhir Mac, Rumah Putih berkata bahawa Pegasus telah digunakan oleh kerajaan "untuk melakukan penindasan dan pelanggaran hak asasi manusia." 

Citizen Lab berkata, sebaik ia diletakkan pada telefon atau komputer pengguna, perisian pengintip QuaDream boleh merakam audio perbualan telefon, merakam bunyi daripada mikrofon peranti, mengambil gambar dan menyelongkar fail dari peranti tanpa disedari pengguna.

Perisian pengintip ini juga boleh menjana kod pengesahan rahsia secara automatik untuk membolehkan akses berterusan kepada akaun awan pemilik peranti.

Menurut Citizen Lab, antara kemampuan perisian pengintip ini termasuk ciri memusnahkan perisian itu bagi mengelakkan jejak kehadirannya sebelum ini apabila tidak lagi digunakan. 

Citizen Lab mengenal pasti beberapa server di 10 negara yang menerima data daripada peranti mangsa, termasuk Israel, Singapura, Mexico, Emiriah Arab Bersatu dan Bulgaria. 

Menurut makmal itu lagi, QuaDream telah memasarkan perisian pengintip dan perkhidmatannya kepada beberapa pihak kerajaan termasuk di Singapura, Arab Saudi, Mexico, Ghana, Indonesia dan Maghribi.