- Iklan -
Luar Sana

Britain galakkan perokok tukar rokok kepada vape

Wanita hamil juga akan ditawarkan baucar untuk membantu mereka menghentikan tabiat itu sebagai sebahagian daripada sasaran kerajaan untuk mengurangkan bilangan perokok kepada 5% atau kurang daripada populasi daripada 13% ketika ini.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki menghisap vape di luar Dewan Parlimen, di London, Britain, 20 Oktober 2022. Gambar: Reuters
Seorang lelaki menghisap vape di luar Dewan Parlimen, di London, Britain, 20 Oktober 2022. Gambar: Reuters

Sejumlah satu juta perokok akan digalakkan untuk menukar rokok kepada "vape", dengan wanita hamil ditawarkan insentif kewangan bagi melakukan perubahan ini, kata kerajaan Britain hari ini.

Di bawah skim itu, hampir satu daripada lima perokok akan diberikan vape – kit permulaan e-rokok bersama sokongan untuk membantu berhenti merokok, kata Jabatan Kesihatan (DoH). 

Wanita hamil juga akan ditawarkan baucar untuk membantu mereka menghentikan tabiat itu sebagai sebahagian daripada sasaran kerajaan untuk mengurangkan bilangan perokok kepada 5% atau kurang daripada populasi daripada 13% ketika ini. 

"Sehingga dua daripada tiga perokok seumur hidup akan mati akibat tabiat merokok. Rokok adalah satu-satunya produk yang dijual yang akan membunuh anda jika digunakan dengan betul," kata Menteri Kesihatan Neil O'Brien dalam ucapannya. 

"Kami akan menawarkan kepada sejuta perokok bantuan baharu untuk berhenti. Kami akan membiayai skim 'swap to stop' nasional yang baharu – pertama seumpamanya di dunia."

Walaupun kadar purata merokok di seluruh dunia lebih tinggi berbanding di Britain, tembakau masih merupakan punca kematian dan penyakit yang boleh dicegah tertinggi di negara itu, kata DoH. 

Kerajaan membelanjakan £68 juta (RM372.09 juta) pada 2021-22 untuk langkah pihak berkuasa tempatan untuk menggalakkan orang ramai berhenti merokok, membawa kepada 100,000 perokok berhenti, dan mengurangkan tekanan pada Perkhidmatan Kesihatan Negara Britain. 

Bagaimanapun, penggunaan Vape turut mendapat kritikan dan pegawai kesihatan telah memberi amaran popularitinya dalam kalangan kanak-kanak mendedahkan mereka kepada bahan kimia dengan kesan jangka panjangnya tidak jelas. 

Angka perkhidmatan kesihatan menunjukkan 9% daripada penduduk berumur 11 hingga 15 tahun di Britain menggunakan e-rokok pada 2021, meningkat daripada 6% tiga tahun sebelumnya. 

Kerajaan berkata ia akan menubuhkan skuad penguat kuasa yang disokong oleh dana £3 juta untuk menghalang penjualan vape secara haram kepada bawah 18 tahun.