- Iklan -
Luar Sana

AS teliti bagaimana kebocoran dokumen sulit mampu ancam keselamatan negara

Pelanggaran itu nampaknya termasuk penilaian dan laporan risikan rahsia menyentuh bukan sahaja mengenai Ukraine dan Rusia tetapi juga analisis yang sangat sensitif terhadap sekutu AS.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar pandangan udara yang diambil pada 8 Mac, menunjukkan bangunan ibu pejabat Jabatan Pertahanan AS, Pentagon yang terletak di Arlington County, di seberang Sungai Potomac dari Washington. Gambar: AFP
Gambar pandangan udara yang diambil pada 8 Mac, menunjukkan bangunan ibu pejabat Jabatan Pertahanan AS, Pentagon yang terletak di Arlington County, di seberang Sungai Potomac dari Washington. Gambar: AFP

AS sedang meneliti bagaimana kebocoran dokumen sulit boleh menjejaskan keselamatan negara, kata Pentagon pada Ahad. 

Pelanggaran itu – yang sedang disiasat oleh Jabatan Kehakiman – nampaknya termasuk penilaian dan laporan risikan rahsia menyentuh bukan sahaja mengenai Ukraine dan Rusia tetapi juga analisis yang sangat sensitif terhadap sekutu AS. 

Ketika Jabatan Pertahanan masih meneliti kesahihan dokumen bergambar tersebut yang tersebar di media sosial, mereka "nampaknya mengandungi bahan sensitif dan sangat sulit," kata Timbalan Setiausaha Akhbar Pentagon, Sabrina Singh dalam satu kenyataan. 

"Usaha antara agensi telah dibuat, tertumpu kepada penelitian terhadap kesan dokumen bergambar ini yang boleh memberi ancaman keselamatan kepada AS dan sekutu serta rakan kongsi kami," kata Singh.

Jabatan Kehakiman berkata pihaknya telah berhubung dengan Jabatan Pertahanan mengenai isu itu dan telah membuka kertas siasatan.

Berpuluh-puluh dokumen dan slaid yang bocor itu telah tersebar ke Twitter, Telegram, Discord dan beberapa laman web lain baru-baru ini, dan dokumen baharu terus muncul. 

Beberapa pegawai AS memberitahu Washington Post bahawa beberapa dokumen nampaknya telah dimanipulasi tetapi kebanyakannya konsisten dengan laporan Kajian Perisikan Dunia CIA yang dikongsi di peringkat tinggi kepada Rumah Putih, Pentagon dan Jabatan Negara. 

Penganalisis pertahanan berkata sebarang pelanggaran dokumen sulit dalaman AS akan merosakkan dan berpotensi menjejaskan imej negara itu.

Di samping itu, kebocoran itu akan memberi bukti bernilai kepada Moscow dengan menunjukkan betapa mendalamnya perisikan AS menembusi sebahagian daripada peralatan tentera Rusia, menurut media AS. 

Dokumen lain termasuk maklumat jelas tentang perdebatan dalaman di kalangan kerajaan sekutu AS.

Antara dokumen itu, sebagai contoh, ialah perbincangan mengenai perbahasan Korea Selatan sama ada akan membekalkan AS meriam untuk digunakan di Ukraine, lapor The New York Times.