- Iklan -
Luar Sana

Ukraine lancar aplikasi mudah alih, kesan kanak-kanak hilang akibat perang

Kyiv menganggarkan 19,544 kanak-kanak dibawa masuk ke Rusia semasa pencerobohan itu, dengan 328 daripadanya sudah pulang.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Sebuah keluarga mengecat pintu pagar rumah mereka. Tentera Rusia membunuh orang awam semasa pendudukan mereka di bandar Bucha, 30 Mac. Gambar: Reuters
Sebuah keluarga mengecat pintu pagar rumah mereka. Tentera Rusia membunuh orang awam semasa pendudukan mereka di bandar Bucha, 30 Mac. Gambar: Reuters

Ukraine melancarkan aplikasi mudah alih untuk membantu mencari kanak-kanak yang hilang selama lebih 13 bulan berikutan pencerobohan besar-besaran Rusia, kata polis negara itu. 

Kyiv menganggarkan 19,544 kanak-kanak telah dibawa masuk ke Rusia semasa pencerobohan itu, dengan 328 daripadanya sudah pulang. 

Moscow, yang mengawal bahagian timur dan selatan Ukraine, menafikan menculik kanak-kanak dan berkata mereka telah dibawa atas faktor keselamatan.

Ukraine telah bergabung tenaga dengan syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS) Find My Parent untuk membangunkan aplikasi "Reunite Ukraine" yang akan membantu menghubungkan semula keluarga yang terpisah sewaktu konflik, kata Timbalan Ketua Polis Ukraine Oleksander Fatsevych. 

"Ia adalah salah satu instrumen untuk mencari kanak-kanak dan menyatukan semula mereka dengan keluarga," katanya pada taklimat dalam talian. 

"Jika kita menjejaki walaupun seorang anak dengan cara sedemikian atau menyatukan semula satu keluarga, ia sudah menjadi kemenangan kecil, tetapi dengan setiap langkah kita akan dapat membawa pulang anak-anak ke rumah."

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bulan lalu mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin dan pesuruhjaya hak kanak-kanak Rusia, menuduh mereka menculik kanak-kanak dari Ukraine. 

Moscow tidak menyembunyikan program membawa beribu kanak-kanak Ukraine ke Rusia dari kawasan yang diduduki, tetapi membentangkannya sebagai kempen kemanusiaan untuk melindungi anak yatim dan kanak-kanak yang ditinggalkan di zon konflik. 

Pesuruhjaya kanak-kanak itu, Maria Lvova-Belova, berkata minggu ini bahawa Rusia telah menerima lebih 5 juta pelarian dari wilayah Donbas, Ukraine, termasuk 730,000 kanak-kanak bersama ibu bapa atau penjaga yang sah, sejak Februari 2022. 

Rusia tidak mengiktiraf bidang kuasa ICC dan telah menganggap waran tangkap itu terbatal dan tidak sah. 

Aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma dan mudah dikendalikan, kata Fatsevych. 

Ia mempunyai semakan keselamatan identiti berbilang peringkat. 

Polis akan menyemak dan mengesahkan profil peribadi dan bertindak sebagai perantara untuk membolehkan komunikasi melalui aplikasi. 

Fatsevych berkata aplikasi itu akan membolehkan polis mengumpul lebih banyak data dengan cara yang selamat dan terkawal, termasuk penduduk di Rusia, Belarus atau di wilayah diduduki yang mahu membantu kanak-kanak Ukraine.