- Iklan -
Luar Sana

Switzerland potong bayaran bonus pengurusan tertinggi Credit Suisse

Keputusan itu 'akan menjejaskan kira-kira 1,000 pekerja, yang akan dilucutkan hak menerima bonus kira-kira 50-60 juta franc Swiss menerusi langkah ini,' menurut laporan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Logo Credit Suisse pada bangunan berhampiran Hallenstadion di Zurich, Switzerland, 4 April. Gambar: Reuters
Logo Credit Suisse pada bangunan berhampiran Hallenstadion di Zurich, Switzerland, 4 April. Gambar: Reuters

Switzerland mengarahkan Credit Suisse untuk membatalkan atau mengurangkan semua pembayaran bonus tertunggak untuk tiga peringkat pengurusan tertinggi dan memeriksa sama ada terdapat sebarang pembayaran yang dibuat boleh ditarik balik, kata Majlis Persekutuan pada Rabu.

Mengikut undang-undang perbankan Switzerland, Majlis Persekutuan boleh mengenakan langkah berkaitan bonus ke atas bank yang penting dari segi sistem jika ia menerima bantuan kerajaan daripada dana Persekutuan, menurut majlis itu dalam satu kenyataan. 

Langkah sangat luar biasa kerajaan itu dibuat selepas tindak balas orang awam terhadap pembayaran bonus di bank, yang terpaksa bergabung dengan pesaingnya UBS serta perlu diselamatkan dengan pembiayaan hampir AS$280 bilion (kira-kira RM1.2 trilion) dan jaminan kerajaan. 

Keputusan itu "akan menjejaskan kira-kira 1,000 pekerja, yang akan dilucutkan hak menerima bonus kira-kira 50-60 juta franc Swiss menerusi langkah ini," kata majlis itu. 

Pembayaran bonus sehingga akhir tahun 2022 akan dibatalkan untuk barisan ahli Lembaga Eksekutif, dan dikurangkan sebanyak separuh bagi pegawai di peringkat pengurusan manakala bonus dikurangkan sebanyak 25% untuk pekerja peringkat bawahan. 

Eksekutif tertinggi bank itu telah mengumumkan bahawa mereka tidak akan mengambil bonus untuk tahun 2022 dalam laporan tahunan syarikat yang diterbitkan pada April.

Bonus keseluruhan hampir 50,000 pekerja bank Switzerland itu pada 2022 turun kepada 635 juta franc Swiss daripada 2.76 bilion, disebabkan kejatuhan harga saham bank tersebut. 

Majlis Persekutuan menambah bahawa Credit Suisse juga mesti melaporkan kepada pihak berkuasa sama ada mungkin untuk mendapatkan semula bonus yang telah dibayar, dan juga memutuskan untuk membatalkan atau mengurangkan bonus untuk tiga peringkat pengurusan tertinggi, yang terakru sehingga penggabungan dengan UBS selesai. 

Pada mesyuarat agung tahunan terakhir Credit Suisse yang diadakan pada Selasa, para pemegang saham menyuarakan bantahan mereka terhadap gaji barisan eksekutif dan lembaga pengarah Credit Suisse yang diterima menjelang kejatuhannya. 

Pemegang saham bank meluluskan pembayaran kepada lembaga pengarah sehingga penggabungan itu selesai, tetapi mengundi untuk tidak meluluskan pampasan untuk barisan eksekutif.