- Iklan -
Luar Sana

Parlimen Turkiye sahkan protokol keanggotaan Finland dalam Nato

Semua 30 anggota Nato kini telah mengesahkan keanggotaan Finland.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatnya dari Finland Sauli Niinisto berjabat tangan sewaktu lawatan rasmi Niinisto ke Ankara, Turki pada 17 Mac. Gambar: Reuters
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan rakan sejawatnya dari Finland Sauli Niinisto berjabat tangan sewaktu lawatan rasmi Niinisto ke Ankara, Turki pada 17 Mac. Gambar: Reuters

Perhimpunan Kebangsaan Turkiye mengesahkan protokol keanggotaan Finland dalam Nato, kata Timbalan Speaker Haydar Akar.

"Untuk pengesahan protokol mengenai penyertaan Finland ke Nato telah menerima 276 undi. Tahniah kepada Finland dan rakyatnya," kata Akar.

Sementara itu, Presiden Finland Sauli Niinisto menjangkakan Sweden juga akan menyertai pakatan itu secepat mungkin, lapor Sputnik.

"Semua 30 anggota Nato kini telah mengesahkan keanggotaan Finland. Terima kasih kepada setiap daripada mereka atas kepercayaan dan sokongan mereka. Finland akan menjadi sekutu yang kuat dan berkebolehan serta komited terhadap keselamatan Perikatan.

"Finland kini bersedia untuk menyertai Nato. Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan Sweden menyertai kami secepat mungkin," kata Niinisto di Twitter.

Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg berkata penyertaan Finland ke dalam blok itu akan menjadikan Nato lebih kuat dan selamat.

"Saya mengalu-alukan undian Perhimpunan Kebangsaan Turkiye untuk melengkapkan pengesahan penyertaan Finland," kata Stoltenberg di Twitter.

Finland dan Sweden memohon untuk menjadi anggota Nato pada Mei 2022 – tiga bulan selepas Rusia memulakan operasi ketenteraan khasnya di Ukraine.

Bagaimanapun, tawaran Sweden untuk menyertai Nato belum disahkan oleh Turkiye dan Hungary.

Proses penyertaan terhenti pada Januari 2023 berikutan insiden pembakaran al-Quran di Sweden. Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berkata Stockholm tidak seharusnya mengharapkan sokongan Ankara.

Pada masa yang sama, pegawai Turkiye berulang kali menyatakan bahawa pintu Nato tidak ditutup kepada Sweden, tetapi prosesnya bergantung sepenuhnya kepada tindakan Stockholm selepas ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.