- Iklan -
Luar Sana

Gempa bumi kuat di Afghanistan, Pakistan, India

Sekurang-kurangnya empat orang disahkan maut di Pakistan setakat ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai keluar dari sebuah restoran selepas gegaran dirasai di Lahore, Pakistan, 21 Mac. Gambar: Reuters
Orang ramai keluar dari sebuah restoran selepas gegaran dirasai di Lahore, Pakistan, 21 Mac. Gambar: Reuters

Gempa bumi kuat menggegarkan sebahagian kawasan di Afghanistan, Pakistan dan India pada petang Selasa, dengan sekurang-kurangnya empat disahkan maut di Pakistan setakat ini.

Menurut Kajian Geologi AS (USGS), gempa bumi berukuran 6.5 pada skala Richter itu berpusat di wilayah Jurm Afghanistan.

Agensi Anadolu melaporkan gempa itu berpusat di Afghanistan, Tajikistan dan kawasan sempadan Pakistan.

Gegaran dirasai di Islamabad, Rawalpindi, Lahore, Quetta, Sargodha, Mianwali, Peshawar, Kohat, Swat, Chitral, Dir, Shangla dan daerah lain di timur laut Punjab, barat daya Balochistan dan barat laut wilayah Khyber Pakhtunkhwa, menurut  Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan dan media tempatan.

Gempa itu turut dirasai di Mirpur, Kotli dan daerah lain di Kashmir yang ditadbir oleh Pakistan.

Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera, terutama di Khyber Pakhtunkhwa yang meranapkan banyak rumah dan mencetuskan tanah runtuh di beberapa kawasan pergunungan, lapor pegawai dan media tempatan.

Dua kematian dilaporkan dari lembah Swat, lapor pesuruhjaya Sohail Khan kepada pemberita.

Sementara itu menurut Geo News, dua lagi kematian dilaporkan dari daerah Dir dan Bajaur.

Di Islamabad, Rawalpindi dan Peshawar, pihak berkuasa pengurusan bencana negara dan wilayah melaporkan beberapa bangunan tinggi mengalami keretakan dan penduduk telah diarahkan berpindah.

Namun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

Sementara itu, Samaa News melaporkan bekalan elektrik terputus di beberapa kawasan dan tanah runtuh turut menimbus laluan Sutera yang menghubungkan Pakistan dengan negara jiran China.

Tanah runtuh turut menimbus jalan raya di daerah Swat dan Dir.

Gempa itu turut menggegarkan bahagian Kashmir yang ditadbir India dan dirasai di bahagian utara India, termasuk di ibu negara New Delhi.

Tiada kematian atau kerosakan dlaporkan di India dan Afghanistan setakat ini.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.