- Iklan -
Luar Sana

Arab Saudi umum 1 Ramadan pada Khamis

Negara majoriti Islam lain termasuk Mesir dan Qatar juga mengumumkan bahawa Ramadan akan bermula pada Khamis, begitu juga pegawai di wilayah Palestin.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Umat Islam berjalan kaki di hadapan Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi selepas menunaikan solat Maghrib.
Umat Islam berjalan kaki di hadapan Masjidil Haram di Mekah, Arab Saudi selepas menunaikan solat Maghrib.

Arab Saudi, tempat suci umat Islam di Mekah dan Madinah, mengumumkan bahawa tarikh mula puasa Ramadan adalah pada Khamis. 

Mahkamah agung kerajaan itu memutuskan pada petang Selasa bahawa bulan Syaban akan berakhir pada Rabu dan 1 Ramadan akan bermula pada hari berikutnya, lapor agensi akhbar rasmi Saudi.

Pihak berkuasa pada Selasa menyeru penduduk supaya cuba melihat anak bulan yang menandakan permulaan Ramadan, tetapi ia tidak kelihatan, kata media kerajaan. 

Negara majoriti Islam lain termasuk Mesir dan Qatar juga mengumumkan bahawa 1 Ramadan akan bermula pada Khamis, begitu juga pegawai di wilayah Palestin. 

Sementara itu, pihak berkuasa di Jordan, Algeria dan Maghribi berkata keputusan sama ada Ramadan akan bermula pada Khamis atau Jumaat akan diumumkan pada Rabu.

Puasa di siang hari bulan Ramadan adalah salah satu daripada lima rukun Islam. 

Umat ​​Islam akan menahan diri daripada makan dan minum bermula Subuh hingga matahari terbenam, dan secara tradisinya mereka akan berkumpul bersama keluarga dan rakan-rakan untuk berbuka puasa pada waktu petang. 

Puasa dipatuhi dengan ketat di Arab Saudi, dengan restoran ditutup sehingga waktu berbuka puasa. 

Ia juga merupakan bulan ibadah, dengan umat Islam akan berkumpul beramai-ramai di masjid, terutama pada waktu malam. 

Tarikh permulaan Ramadan, ditetapkan berdasarkan pengiraan dan penglihatan fizikal anak bulan untuk menentukan permulaan bulan baharu.