- Iklan -
Luar Sana

Korea Utara jalankan latihan simulasi tindak balas nuklear

Foto oleh media kerajaan memaparkan anak perempuannya Ju Ae turut menyelia latihan berkenaan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Gambar daripada Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) menunjukkan peluru berpandu balistik dilancarkan oleh tentera Korea Utara di lokasi yang tidak didedahkan, 15 Mac. Gambar: Reuters
Gambar daripada Agensi Berita Pusat Korea Utara (KCNA) menunjukkan peluru berpandu balistik dilancarkan oleh tentera Korea Utara di lokasi yang tidak didedahkan, 15 Mac. Gambar: Reuters

Korea Utara pada Isnin memaklumkan pihaknya menjalankan latihan simulasi serangan balas nuklear taktikal pada hujung minggu, ketika Amerika Syarikat dan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan tahunan mereka.

Pemimpin Utara Kim Jong Un "mengetuai" latihan itu, termasuk latihan pelancaran peluru berpandu balistik yang direka untuk mengesahkan operasi peranti kawalan nuklear dan peledak, lapor agensi berita Yonhap, memetik Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Foto oleh media kerajaan memaparkan anak perempuannya Ju Ae turut menyelia latihan berkenaan.

Beliau "menekankan keperluan supaya kakitangan perkhidmatan membiasakan diri dengan sebarang keadaan yang tidak dijangka dan menjadikan mereka lebih bersedia dalam postur aktif untuk membuat serangan balas nuklear pada bila-bila masa," lapor KCNA.

Kim juga membentangkan "orientasi pembinaan tenaga nuklear dan tugas-tugas strategik yang perlu dipenuhi dalam menyediakan tenaga nuklear untuk peperangan," katanya tanpa mengulas lanjut.

AS dan Korea Selatan mengadakan latihan ketenteraan Freedom Shield yang dijadualkan berlangsung hingga Khamis, bertujuan untuk mengukuhkan postur pertahanan terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara.