- Iklan -
Luar Sana

AS sita laman web jual ‘malware’ curi data komputer

Penyitaan laman web, worldwiredlabs dot com, dilakukan oleh pihak berkuasa persekutuan di Los Angeles sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan undang-undang antarabangsa, kata Jabatan Kehakiman negara itu.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Ilustrasi seorang lelaki memegang komputer riba berlatarbelakangkan kod siber pada 13 Mei 2017. Gambar: Reuters
Ilustrasi seorang lelaki memegang komputer riba berlatarbelakangkan kod siber pada 13 Mei 2017. Gambar: Reuters

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa mereka menyita domain internet yang menjual perisian berniat jahat yang digunakan untuk mencuri data dan mengawal komputer mangsa. 

Penyitaan laman web, worldwiredlabs dot com, dilakukan oleh pihak berkuasa persekutuan di Los Angeles sebagai sebahagian daripada usaha penguatkuasaan undang-undang antarabangsa, kata Jabatan Kehakiman (DoJ) AS dalam satu kenyataan. 

Laman itu menjual NetWire, sejenis “malware” yang dikenali sebagai “remote access trojan” (Rat) yang merupakan "program canggih yang mampu menyasarkan dan menjangkiti setiap sistem operasi komputer utama," kata kenyataan itu. 

Ia membenarkan pengawasan rahsia, mewujudkan "'backdoor” untuk kawalan pentadbiran dan capaian jauh tanpa halangan dan tanpa kebenaran ke atas komputer mangsa, tanpa pengetahuan atau kebenaran mangsa," menurut rekod mahkamah yang difailkan di Los Angeles yang dipetik kenyataan itu.

Setakat ini, jumlah transaksi pembelian perisian itu daripada laman web yang disita tersebut belum dapat dipastikan.

Pemerhati hak digital Citizen Lab dalam laporan pada 2017 menyebut NetWire pertama kali muncul pada 2012 dan digunakan dalam serangan penipuan kad kredit yang menyasarkan sektor penjagaan kesihatan dan perbankan.

"Penjenayah menggunakan NetWire pada skala global, dan kami bertindak balas dengan membongkar infrastruktur yang menyebabkan kemudaratan yang tidak disangka kepada mangsa di seluruh dunia," kata Peguam AS Martin Estrada dalam satu kenyataan. 

Reuters cuba mendapatkan maklum balas daripada jurucakap pasukan penyiasat AS itu namun tidak berjaya.

Seorang warga Croatia yang merupakan pentadbir laman web itu ditangkap Selasa lalu manakala penguat kuasa undang-undang Switzerland secara berasingan merampas pelayan komputer yang menganjurkan infrastruktur “malware” itu, tambah DoJ. 

Rampasan itu berlaku ketika pihak berkuasa UD berusaha untuk meningkatkan kerjasama dengan negara lain dalam menyiasat jenayah siber rentas sempadan. 

Strategi keselamatan siber baharu yang didedahkan oleh Rumah Putih minggu lalu memerlukan gabungan yang lebih kukuh dengan kerajaan luar.