- Iklan -
Luar Sana

Rusia pertimbang cabar AS letak calon ketua Bank Dunia

Walau dilihat tidak dapat mengubah apa-apa, namun ia boleh mendedahkan ketegangan antara AS dan negara Barat serta China ke atas bank tersebut dan institusi kewangan global yang lain.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Logo Bank Dunia. Gambar: Reuters
Logo Bank Dunia. Gambar: Reuters

Rusia sedang berunding dengan sekutunya untuk mencabar calon pilihan Amerika Syarikat (AS) untuk mengetuai Bank Dunia, kata wakil tertinggi Moscow di bank itu pada Selasa, satu langkah yang boleh merumitkan apa yang dijangka menjadi proses penggantian yang lancar.

Rusia kekal sebagai ahli mengundi Bank Dunia, walaupunpada Mac lepas bank itu menghentikan semua program di Rusia dan Belarus, memetik apa yang dipanggil sebagai "permusuhan terhadap rakyat Ukraine" berikutan pencerobohan Rusia.

Roman Marshavin, pengarah eksekutif Bank Dunia yang mewakili Rusia dan Syria, memberitahu Reuters bahawa "penyenaraian calon berpotensi dan perundingan masih diteruskan," tetapi tidak memberikan butiran lanjut. Beliau berkata keputusan itu akan dibuat di Moscow.

Rancangan Rusia pertama kali dilaporkan oleh agensi berita TASS milik Rusia.

Ia memetik Marshavin sebagai berkata beliau sedang berbincang dengan negara lain mengenai kemungkinan calon termasuk pembiaya Rusia dan pakar ekonomi asing, bekas ketua pertubuhan antarabangsa, serta beberapa bekas menteri kewangan dan ketua bank pusat.

Marshavin enggan mengulas mengenai butiran laporan TASS atau negara lain yang terlibat.

Presiden AS Joe Biden bulan lepas mencalonkan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Mastercard Ajay Banga, 63, untuk menggantikan David Malpass sebagai presiden Bank Dunia, yang menyelia pembiayaan berbilion dolar untuk negara membangun.

Banga berkata beliau sudah mendapat sokongan daripada India, Ghana dan Kenya. Beliau juga mendapat ulasan positif daripada Perancis dan Jerman pada mesyuarat pegawai kewangan G20 bulan lepas, dan pada Selasa memperoleh pengesahan daripada Bangladesh.

Jabatan Perbendaharaan AS enggan mengulas mengenai kemungkinan cabaran Rusia tersebut.

Walaupun bank itu akan menerima pencalonan dari negara lain sehingga 29 Mac, pencalonan Biden memastikan yang Banga akan mengisi peranan itu.

Sejak penubuhannya pada penghujung Perang Dunia Kedua, Bank Dunia hanya dikepalai oleh warga AS sahaja, yang bertindak sebagai pemegang saham dominan pemberi pinjaman.

Cabaran Rusia atau negara bersekutu dengannya mungkin tidak dapat mengubah apa-apa, memandangkan struktur pegangan saham, tetapi ia boleh mendedahkan ketegangan yang memuncak antara AS dan negara Barat dengan China - pemegang saham ketiga terbesar bank itu - ke atas Bank tersebut dan institusi kewangan global yang lain.