- Iklan -
Luar Sana

China mahu pastikan pembangunan berkualiti sektor swasta, kata presiden

Xi Jinping berkata syarikat swasta perlu meningkatkan inovasi kendiri dan mainkan peranan lebih besar dalam mempertingkat kemandirian serta swadaya sains dan teknologi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden China Xi Jinping menghadiri sesi pembukaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China di Beijing, China, 4 Mac. Gambar: Reuters
Presiden China Xi Jinping menghadiri sesi pembukaan Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China di Beijing, China, 4 Mac. Gambar: Reuters

Presiden China Xi Jinping pada Isnin berkata bagi memastikan sektor swasta berkembang secara sihat dan berkualiti tinggi, ia memerlukan bimbingan yang betul dan berterusan. 

Beliau berkata sektor swasta merupakan tenaga penting dalam usaha ke arah merealisasikan Matlamat Dua Seratus Tahun China serta impian kebangkitan nusa dan bangsa.

"Usaha perlu diperkasa untuk mengoptimumkan persekitaran pembangunan syarikat swasta, menghapuskan faktor keinstitusian yang menghalang syarikat berkenaan daripada menyertai persaingan pasaran secara adil dan melindungi hak harta syarikat serta hak dan kepentingan usahawan," kata Xi.

Pada Isnin, Xi meluangkan masa bertemu anggota Majlis Mesyuarat Politik Rakyat China (CPPCC) dari Persatuan Pembinaan Demokratik Kebangsaan China dan Persekutuan Perindustrian dan Perniagaan Seluruh China yang menghadiri sidang pertama Jawatankuasa Kebangsaan ke-14 CPPCC.

Xi turut mendengar pandangan dan cadangan mereka serta menggalakkan supaya sektor swasta terus berkembang maju.

“Lebih banyak sokongan perlu diberikan untuk memajukan ekonomi swasta sekali gus meningkatkan jangkaan dan keyakinan pasaran,” kata beliau.

Xi turut mahu langkah lebih berkesan diambil untuk menyokong pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana serta individu bekerja sendiri, selain menyokong syarikat terbabit berperanan lebih besar dalam penawaran peluang pekerjaan, penjanaan perbelanjaan dan persaingan antarabangsa.

Tambah beliau, syarikat swasta perlu mengamalkan konsep pembangunan baharu dengan meningkatkan inovasi kendiri dan memainkan peranan lebih besar dalam mempertingkat kemandirian serta swadaya sains dan teknologi.