- Iklan -
Luar Sana

Tadbir urus global gagal, kata PM India

Krisis kewangan, perubahan iklim, pandemik, keganasan dan peperangan jelas menunjukkan bahawa tadbir urus global, kata Narendra Modi.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri India, Narendra Modi. Gambar: Reuters
Perdana Menteri India, Narendra Modi. Gambar: Reuters

Perdana Menteri India Narendra Modi berkata multilateralisme kini berdepan dengan krisis dan tadbir urus global gagal menanganinya. 

Berucap pada mesyuarat menteri-menteri luar G20 di New Delhi, beliau menekankan mengenai kurangnya perpaduan dalam menangani cabaran seperti peperangan, perubahan iklim dan bencana alam.

"Kita semua mesti mengakui bahawa multilateralisme berada dalam krisis hari ini," kata Modi pada Khamis.

Kegagalan institusi antarabangsa paling banyak memberi kesan kepada negara membangun, katanya.

"Acuan tadbir urus global yang dirangka selepas Perang Dunia Kedua adalah untuk melaksanakan dua fungsi - mencegah peperangan masa depan dengan mengimbangi kepentingan bersaing dan untuk memupuk kerjasama antarabangsa mengenai isu kepentingan bersama.

"Berdasarkan pengalaman beberapa tahun kebelakangan ini - krisis kewangan, perubahan iklim, pandemik, keganasan dan peperangan - jelas menunjukkan bahawa tadbir urus global gagal melaksanakan kedua-dua mandatnya," kata Modi

India selaku Presiden G20 tahun ini mengetengahkan isu utama yang menjadi perhatian di “Global South”.

Modi berkata menteri-menteri luar kumpulan itu bertemu ketika "perpecahan global kian mendalam" dan sudah tentu perbincangan "menjurus kepada ketegangan geopolitik hari ini".

Beberapa mesyuarat berprofil tinggi sedang berlangsung di India sebelum sidang kemuncak kepimpinan G20 pada September.