- Iklan -
Luar Sana

51% populasi dunia alami obesiti menjelang 2035, menurut laporan

Hampir semua negara yang dijangka menyaksikan peningkatan terbesar dalam obesiti pada tahun-tahun akan datang adalah negara berpendapatan rendah atau sederhana di Asia dan Afrika.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Pengunjung membeli paket minyak sayuran di sebuah pasar raya di Mumbai, India, 7 Mac 2022. Gambar: Reuters
Pengunjung membeli paket minyak sayuran di sebuah pasar raya di Mumbai, India, 7 Mac 2022. Gambar: Reuters

Lebih separuh daripada penduduk dunia akan mengalami berat badan berlebihan atau obesiti menjelang 2035 tanpa tindakan ketara, menurut laporan terbaru. 

Persekutuan Obesiti Dunia 2023 meramalkan 51% daripada populasi dunia, atau lebih 4 bilion orang, akan mengalami obesiti atau berat badan berlebihan dalam tempoh 12 tahun akan datang. 

Menurut laporan itu, kadar obesiti meningkat dengan cepat terutamanya di kalangan kanak-kanak dan di negara berpendapatan rendah. 

Presiden Persekutuan Obesiti Dunia Louise Baur, berkata pembuat dasar perlu bertindak sekarang untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk, sambil menyifatkan data itu sebagai “amaran jelas”. 

"Adalah membimbangkan apabila melihat kadar obesiti meningkat paling cepat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja," katanya dalam satu kenyataan.

"Kerajaan dan penggubal dasar di seluruh dunia perlu melakukan semua yang mereka mampu untuk mengelak menyalurkan kos kesihatan, sosial dan ekonomi kepada generasi muda." 

Laporan itu mendapati obesiti di kalangan kanak-kanak mampu meningkat dua kali ganda berbanding paras yang dicatatkan pada 2020, kepada 208 juta lelaki dan 175 juta perempuan menjelang 2035. 

Menurut persekutuan itu, kos kepada masyarakat adalah ketara akibat daripada keadaan kesihatan yang dikaitkan dengan berat badan berlebihan iaitu lebih AS$4 trilion (kira-kira RM18 trilion) setiap tahun menjelang 2035 atau 3% daripada KDNK global. 

Bagaimanapun, penulis berkata mereka tidak menyalahkan individu, tetapi menyeru untuk memberi tumpuan kepada faktor masyarakat, alam sekitar dan biologi yang terlibat dalam keadaan tersebut.

Laporan itu menggunakan indeks jisim badan (BMI) untuk penilaiannya.

Selaras dengan garis panduan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), skor BMI melebihi 25 adalah berat badan berlebihan dan lebih 30 adalah obesiti.

Pada 2020, 2.6 bilion orang tergolong dalam kategori ini, atau 38% daripada populasi dunia. 

Laporan itu juga menyebut hampir semua negara yang dijangka menyaksikan peningkatan terbesar dalam obesiti pada tahun-tahun akan datang adalah negara berpendapatan rendah atau sederhana di Asia dan Afrika. 

Data itu akan dibentangkan kepada penggubal dasar dan negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu minggu depan.

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi