- Iklan -
Luar Sana

Pekerja Sri Lanka teruskan mogok walau kerajaan haramkan

Lebih kurang 40 kesatuan sekerja, termasuk kakitangan hospital kerajaan dan pekerja bank, keluar bermogok.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Orang ramai beratur untuk mengeluarkan wang tunai daripada ATM di Bank of Ceylon yang menunjukkan tanda "tutup" ketika mogok besar-besaran terhadap kenaikan cukai, di Colombo, Sri Lanka, 1 Mac. Gambar: Reuters
Orang ramai beratur untuk mengeluarkan wang tunai daripada ATM di Bank of Ceylon yang menunjukkan tanda "tutup" ketika mogok besar-besaran terhadap kenaikan cukai, di Colombo, Sri Lanka, 1 Mac. Gambar: Reuters

Para pekerja Sri Lanka melancarkan mogok pada Rabu, menentang pengharaman protes oleh kerajaan yang merancang selamatkan negara kepulauan daripada muflis, sekali gus membuatkan hospital, bank dan pelabuhan terpaksa ditutup.

Presiden Ranil Wickremesinghe berdepan kemarahan orang ramai berhubung kenaikan cukai yang tinggi dan pemotongan perbelanjaan yang dikenakan untuk mendapatkan bantuan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).

Lebih kurang 40 kesatuan sekerja, termasuk kakitangan hospital kerajaan dan pekerja bank, keluar bermogok.

Doktor di Hospital Kebangsaan Sri Lanka di Colombo berkata hanya kes kecemasan sedang dirawat, manakala janji temu dibatalkan di klinik dan hospital swasta.

Pekerja elektrik dan juruwang bank turut bermogok manakala pekerja di dok mengadakan bantahan waktu makan tengah hari di pelabuhan ibu negara.

Pada Selasa, Wickremesinghe menggunakan kuasa eksekutifnya untuk keluarkan perintah "perkhidmatan penting" yang secara langsung melarang protes dirancang kesatuan sekerja, selain penjawat awam yang mengingkari perintah itu berisiko kehilangan pekerjaan.

Pemimpin kesatuan berkata mereka diberitahu oleh Wickremesinghe pada Sabtu bahawa beliau tidak boleh mengurangkan cukai pendapatan kerana ia syarat IMF untuk mengeluarkan pakej bantuan.

Haritha Aluthge dari Persatuan Pegawai Perubatan Kerajaan memberitahu pemberita di Colombo kesatuannya merancang untuk meneruskan mogok.

"Protes sehari tidak akan gugat pihak berkuasa," katanya. "Kami perlu ambil langkah yang lebih hebat."

Sri Lanka memohon bantuan IMF selepas gagal membayar hutang luar negara AS$46 bilion (kira-kira RM206 bilion) pada April lepas.

IMF masih belum mengeluarkan dana tersebut sementara menunggu jaminan kewangan daripada China, pemiutang dua hala tunggal terbesar Sri Lanka.

Krisis ekonomi Sri Lanka yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak akhir 2021 telah menyebabkan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang teruk selain mengakibatkan protes berbulan-bulan yang menggulingkan presiden Gotabaya Rajapaksa pada Julai.

Wickremesinghe, yang dipilih oleh parlimen untuk menggantikan Rajapaksa, berkata ekonomi menguncup sebanyak 11% tahun lepas dan pulau itu akan kekal muflis sehingga sekurang-kurangnya 2026.

Beliau juga telah mengumumkan bahawa negara tidak mempunyai wang untuk membiayai pilihan raya kerajaan tempatan yang dijadualkan pada 9 Mac, menyebabkan tuduhan yang beliau menggunakan krisis ekonomi untuk menyekat demokrasi.