- Iklan -
Luar Sana

New Zealand lanjutkan setahun lagi 'Visa Khas Ukraine'

Menteri Imigresen Michael Wood berkata kemudahan untuk warga Ukraine kini dilanjutkan sehingga pertengahan Mac 2024.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Bendera New Zeland dan Ukraine dikibarkan bersama. Gambar: Facebook
Bendera New Zeland dan Ukraine dikibarkan bersama. Gambar: Facebook

New Zealand pada Selasa melanjutkan "Visa Khas Ukraine" untuk tempoh setahun berikutan perang yang masih berterusan di rantau itu, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam satu kenyataan, Menteri Imigresen Michael Wood berkata mengikut keputusan kerajaan itu, kemudahan untuk warga Ukraine kini dilanjutkan sehingga pertengahan Mac 2024.

"Kami memperakui kesan konflik yang berterusan di Ukraine terhadap rakyatnya, dan usaha komuniti Ukraine New Zealand untuk membantu ahli keluarga mereka," kata Wood.

"Visa Khas Ukraine dijadual berakhir pada 15 Mac 2023, namun memandangkan konflik itu yang masih belum berakhir, New Zealand wajar untuk terus memberikan keistimewaan itu kepada keluarga warga Ukraine di New Zealand," menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang rasmi.

Beliau berkata keputusan itu diambil bagi membolehkan anggota komuniti Ukraine New Zealand yang masih mahu membawa anggota keluarga mereka ke New Zealand.

Kerajaan juga melanjutkan tempoh perjalanan daripada sembilan bulan kepada 12 bulan untuk pemohonan baharu.

“Perubahan ini akan membantu rakyat Ukraine sampai ke New Zealand apabila sesuai dan mungkin untuk mereka berbuat demikian,” kata menteri itu.

Kerajaan juga memutuskan untuk terus mengetepikan yuran imigresen untuk pemohon Ukraine bagi memastikan kos imigresen tidak menjadi penghalang kepada mereka yang layak, menurut kenyataan itu.

Pemegang Visa Khas Ukraine juga mempunyai akses kepada penjagaan kesihatan pembiayaan awam dan anak-anak mereka boleh bersekolah sebagai pelajar domestik, manakala orang dewasa boleh mengakses kelas bahasa Inggeris percuma di negara itu.