- Iklan -
Luar Sana

Kebocoran makmal di China mungkin penyebab wabak Covid, kata pengarah FBI

Menurut laporan, empat agensi lain, bersama panel perisikan negara, masih menilai bahawa wabak itu yang berkemungkinan hasil daripada penularan semula jadi.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Pengarah FBI Christopher Wray menghadiri sidang akhbar pada 27 Januari, di Washington. Gambar: AFP
Pengarah FBI Christopher Wray menghadiri sidang akhbar pada 27 Januari, di Washington. Gambar: AFP

Pengarah FBI Christopher Wray berkata agensi itu sudah menilai bahawa kebocoran dari makmal di Wuhan, China, mungkin menyebabkan pandemik Covid-19. 

"FBI sudah lama menilai bahawa punca wabak itu kemungkinan besar adalah daripada insiden makmal yang berpotensi di Wuhan," kata Wray kepada Fox News. 

Ia susulan laporan Wall Street Journal (WSJ) pada Ahad bahawa Jabatan Tenaga AS mendapati wabak itu berpunca daripada kebocoran makmal yang tidak diingini di China. 

Empat agensi lain, bersama panel perisikan negara, masih menilai bahawa wabak itu yang berkemungkinan hasil daripada penularan semula jadi, dan dua belum ditentukan, lapor WSJ. 

Jurucakap keselamatan Rumah Putih John Kirby berkata, kerajaan AS belum mencapai kesimpulan dan konsensus yang pasti mengenai asal-usul wabak itu.

Kementerian luar China, diminta mengulas laporan WSJ, yang disahkan oleh media AS lain, merujuk kepada laporan WHO-China menunjuk asal-usul semula jadi wabak itu, dan bukan disebabkan kebocoran makmal. 

Wray berkata beliau tidak boleh berkongsi banyak butiran penilaian agensi kerana ia dilindungi. 

Beliau menuduh kerajaan China "melakukan yang terbaik untuk cuba menggagalkan dan mengelirukan" usaha AS dan pihak lain untuk mengetahui lebih lanjut tentang asal-usul wabak itu.