- Iklan -
Luar Sana

Gergasi media Jerman beri amaran AI mampu gantikan kewartawanan

CEO Axel Springer berkata media perlu fokus kepada berita eksklusif atau ulasan jika mahu terus kekal.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Telefon pintar dengan logo ChatGPT diletakkan pada papan induk komputer, 23 Februari. Gambar: Reuters
Telefon pintar dengan logo ChatGPT diletakkan pada papan induk komputer, 23 Februari. Gambar: Reuters

Gergasi media Jerman Axel Springer memberi amaran pada Selasa yang wartawan berisiko ketinggalan jauh oleh kecerdasan buatan (AI).

"Kecerdasan buatan ada potensi untuk menjadikan kewartawanan bebas lebih baik berbanding sebelumnya, atau menggantikannya terus," kata Ketua Pegawai Eksekutif Axel Springer Mathias Doepfner dalam surat kepada pekerja yang dilihat AFP.

Komputer yang menggunakan AI tidak lama lagi akan menjadi lebih bagus dalam "pengumpulan maklumat" berbanding wartawan manusia, menurut ramalan Doepfner.

Beliau berkata media mesti memberi tumpuan kepada penjanaan berita eksklusif atau ulasan dan ciri asal jika mereka mahu terus kekal.

Kewartawanan penyiasatan, ciri dipacu personaliti dan liputan hiburan menjadi "semakin penting" untuk perniagaan media, kata Doepfner.

Malah beliau juga meramalkan yang "motif sebenar" di sebalik sesuatu kejadian akan kekal dikuasai wartawan manusia, katanya.

Perisian berkuasa AI seperti ChatGPT yang disokong Microsoft menjanjikan "revolusi" dalam maklumat, katanya.

Program ini menarik perhatian dunia dengan keupayaannya untuk menjana teks yang direka dengan baik seperti esei atau puisi dalam beberapa saat sahaja menggunakan teknologi AI yang dikenali sebagai model bahasa besar atau LLM.

Matlamat Axel Springer adalah untuk menjadi "digital sahaja", kata Doepfner, sambil menambah bahawa peralihan itu akan "mengambil masa beberapa tahun lagi".

Sekitar 85% daripada hasil kumpulan dan 95% daripada keuntungannya datang daripada aktiviti digitalnya, katanya.

Oleh itu, Axel Springer akan "membina dan mengurangkan pekerjaan pada masa yang sama", kata Doepfner, yang kumpulannya menggaji kira-kira 18,000 orang di seluruh dunia.

"Pengurangan yang ketara" akan dilihat dalam bidang seperti pengeluaran dan pembacaan pruf di kumpulan itu, yang tajuknya termasuk Bild harian terlaris Jerman.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Axel Springer sudah berkembang di peringkat antarabangsa, dengan pemerolehan laman berita Business Insider dan Politico yang berpangkalan di Amerika Syarikat.