- Iklan -
Luar Sana

China komited perkasa kerjasama dengan Rusia

Hubungan dua negara ada asas kukuh, selain kedua-duanya bersikap tenang, tidak gentar selepas merumuskan pengalaman sejarah, kata Wang Yi.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Ketua Pejabat Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parti Komunis China, Wang Yi (kiri) ketika bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin pada 22 Februari. Gambar: Facebook
Ketua Pejabat Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parti Komunis China, Wang Yi (kiri) ketika bertemu Presiden Rusia Vladimir Putin pada 22 Februari. Gambar: Facebook

China komited memperkasa kerjasama dengan Rusia, kata anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Wang Yi dalam pertemuannya dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, pada Rabu.

Beliau merangkap Ketua Pejabat Jawatankuasa Hal Ehwal Luar PKC berkata perkongsian strategik komprehensif China-Rusia pada era baharu tidak pernah menyasarkan pihak ketiga dan tidak akan terganggu atau dipaksa oleh pihak ketiga.

“Ini kerana hubungan China-Rusia mempunyai asas yang kukuh dalam bidang politik, ekonomi dan kebudayaan, selain kedua-duanya bersikap tenang dan tidak berasa gentar selepas merumuskan pengalaman sejarah.

“Yang lebih penting lagi, usaha kedua-dua negara dalam menggalakkan pelbagai polarisasi di dunia dan demokrasi dalam hubungan antarabangsa sejajar dengan trend perkembangan zaman dan aspirasi kebanyakan negara.

“China bersedia bersama dengan Rusia mengukuhkan rasa saling percaya dalam bidang politik, memperkasa solidariti strategi dan kerjasama substantif bagi memelihara kepentingan yang wajar kedua-dua negara selain menyumbang kepada kedamaian serta pembangunan dunia,” kata Wang.

Sementara itu Putin dalam ucapannya berkata Kongres Kebangsaan ke-20 PKC memberikan prospek baharu untuk pembangunan China.

“Pada masa ini, hubungan Rusia-China sedang bergerak ke arah matlamat yang ditetapkan.

“Kerjasama bilateral dalam pelbagai bidang dan penyelarasan dalam pertubuhan pelbagai hala seperti Pertubuhan Kerjasama Shanghai dan BRICS telah membuahkan hasil yang menggalakkan.

“Mengukuhkan perpaduan dan penyelarasan dalam hal ehwal antarabangsa amat penting bagi menggalakkan demokrasi dalam hubungan antarabangsa serta keseimbangan dan kestabilan dalam landskap antarabangsa,” kata Putin.

Dalam perkembangan lain, kedua-dua pihak juga bertukar-tukar pandangan tentang isu Ukraine.

Wang berkata pihaknya menghargai penegasan pihak Rusia yang menyelesaikan isu terbabit melalui dialog dan rundingan.

“China menegakkan kedudukan objektif dan adil serta berpendirian konsisten dalam memainkan peranan membina bagi penyelesaian krisis itu melalui saluran politik,” tambah beliau.