- Iklan -
Luar Sana

Putin gantung perjanjian nuklear, Biden kekal beri sokongan padu terhadap Ukraine

Pemimpin kuasa besar itu masing-masing kemuka pandangan berbeza tentang dunia dan perang di Ukraine.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Rusia Vladimir Putin (kiri) dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.
Presiden Rusia Vladimir Putin (kiri) dan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden.

Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden dan Presiden Rusia Vladimir Putin masing-masing mengemukakan pandangan berbeza tentang dunia dan perang Ukraine, dengan Biden berjanji mempertahankan demokrasi manakala Putin menegaskan Barat merupakan ancaman kepada Rusia.

Dalam ucapan pada Selasa, Putin di Moscow menyampaikan amaran kepada Barat mengenai Ukraine dengan menggantung perjanjian kawalan senjata nuklear utama terakhirnya dengan AS manakala Biden di Warsaw mengisytiharkan sokongan padu untuk Ukraine yang diceroboh tentera Rusia hampir setahun.

"Apabila Rusia menyerang, bukan sahaja Ukraine diuji. Seluruh dunia berdepan ujian," kata Biden di Istana Diraja Warsaw, sehari selepas beliau membuat lawatan mengejut ke Kyiv.

Dicabar untuk bertindak balas terhadap pencerobohan itu, Biden berkata AS dan sekutu NATO menjawab: "Ya, kami akan mempertahankan kedaulatan. Ya, kami akan mempertahankan hak orang ramai untuk hidup bebas daripada pencerobohan."

"Dan kami akan berdiri untuk demokrasi," katanya.

Tambah Biden, "tidak perlu ada keraguan: Sokongan kami untuk Ukraine tidak akan goyah, NATO tidak akan berpecah."

Perjanjian nuklear

Putin, dalam ucapan awal kepada tentera dan elit politik Rusia, mendakwa AS mengubah perang menjadi konflik global dan mengumumkan penggantungan penyertaan Rusia dalam New START (Perjanjian Pengurangan Senjata Strategik). 

Kementerian luarnya kemudian berkata Moscow berhasrat untuk terus mematuhi sekatan yang digariskan dalam perjanjian mengenai jumlah kepala peledak nuklear yang boleh digunakan.

"Para elit Barat tidak menyembunyikan tujuan mereka. Tetapi mereka juga tidak boleh alpa untuk sedar yang ianya adalah mustahil untuk mengalahkan Rusia di medan perang," kata Putin.

“Mereka berhasrat untuk mengubah konflik tempatan menjadi fasa konfrontasi global,” katanya. 

"Inilah cara kita memahami semuanya dan kita akan bertindak balas dengan sewajarnya, kerana dalam kes ini kita bercakap tentang keberadaan negara kita."

Biden menolak dakwaan Rusia bahawa sekutu Barat sedang berusaha untuk mengawal atau memusnahkan Rusia. Beliau menuduh Rusia melakukan jenayah terhadap kemanusiaan seperti menyasarkan orang awam dan rogol. 

Moscow telah menafikan dakwaan sebelumnya oleh Ukraine dan sekutunya mengenai jenayah perang dan menyasarkan orang awam.

Reaksi terhadap Putin

Setiausaha Negara AS Antony Blinken menyifatkan tindakan Putin sebagai "sangat malang dan tidak bertanggungjawab". Setiausaha Agung NATO Jens Stoltenberg berkata ia menjadikan dunia sebagai tempat yang lebih bahaya, menggesa Putin untuk mempertimbangkan semula.

Duta Besar China ke PBB Zhang Jun memberitahu pemberita bahawa perjanjian New START dan lain adalah penting untuk keselamatan global, menambah bahawa "isu-isu penting ini harus terus dirunding antara satu sama lain dalam mencari penyelesaian yang baik".

Di bawah perjanjian yang tamat pada 2026, AS dan Rusia mungkin memeriksa secara fizikal senjata nuklear pihak lain, walaupun ketegangan mengenai Ukraine telah menghentikan pemeriksaan.

Sekutu NATO dan penyokong lain telah menghantar senjata dan peluru perang bernilai puluhan bilion dolar kepada Ukraine, dengan kereta kebal moden dijanjikan dan beberapa negara mempertimbangkan rayuan Presiden Volodymyr Zelenskiy untuk jet pejuang dan peluru berpandu jarak jauh.