- Iklan -
Luar Sana

China nafi campur tangan pilihan raya Kanada

Ia susulan laporan mengatakan Beijing cuba campur tangan dalam pilihan raya persekutuan pada 2021.

AFP
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau memberikan tanda bagus ketika tiba untuk menyampaikan ucapan kemenangannya selepas pilihan raya parlimen di Hotel Fairmount Queen Elizabeth di Montreal, Quebec, 21 September 2021. Gambar: AFP
Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau memberikan tanda bagus ketika tiba untuk menyampaikan ucapan kemenangannya selepas pilihan raya parlimen di Hotel Fairmount Queen Elizabeth di Montreal, Quebec, 21 September 2021. Gambar: AFP

China menolak dakwaan republik itu campur tangan dalam pilihan raya persekutuan Kanada, menyifatkan laporan media Kanada yang memetik dokumen risikan sebagai "palsu" dan cubaan "memburukkan" Beijing. 

Konsulat Jeneral China di bandar barat Vancouver dalam satu kenyataan petang Jumaat lalu berkata menuduh media Kanada cuba "memburuk dan mencemarkan nama baik China" dan republik menyatakan "sekeras-kerasnya ketidakpuasan hati”.

Kenyataan itu muncul susulan laporan dalam akhbar The Globe and Mail, memetik dokumen risikan sulit, yang mengatakan Beijing campur tangan dalam pilihan raya persekutuan pada 2021. 

Kerajaan China menggunakan diplomat dan proksi untuk mengetuai kempen yang bertujuan untuk menyokong calon tertentu parti Liberal – parti yang dianggap lebih memihak kepada Beijing – menentang pesaing Konservatif mereka, lapor akhbar itu. 

Kenyataan konsulat jeneral China itu berkata pihak berkuasa "menyatakan dengan jelas pada banyak kesempatan bahawa China sentiasa berpegang kepada prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara lain dan tidak pernah campur tangan dalam mana-mana pilihan raya Kanada."

Ia berkata tuduhan itu "akan merosakkan persahabatan dan kepentingan rakyat kedua-dua negara."

Kenyataan itu seterusnya menggesa "media yang berkaitan supaya mematuhi etika profesional, segera berhenti memburuk-burukkan dan menyerang China dan konsulat jeneral, dan melakukan lebih banyak kebaikan" untuk meningkatkan persefahaman bersama. 

Ditanya mengenai perkara itu pada Jumaat, Perdana Menteri Justin Trudeau menegaskan bahawa pilihan raya lepas, yang dimenangi oleh kerajaannya, adalah sah. 

Trudeau menambah bahawa beliau sudah "lama" menyedari percubaan Cina untuk campur tangan, tetapi rakyat Kanada boleh mempunyai "keyakinan penuh" terhadap integriti pilihan raya mereka. 

Di Ottawa, sebuah jawatankuasa parlimen sedang menyiasat dakwaan bahawa China campur tangan dalam kempen pilihan raya 2019 untuk menyokong 11 calon, kebanyakannya Liberal.

Hubungan China-Kanada tegang selama bertahun-tahun, terutamanya berikutan penahanan Meng Wanzhou, eksekutif tertinggi multinasional China, Huawei oleh pentadbiran Kanada atas permintaan Amerika Syarikat pada 2018. Wanzhou dibebaskan pada 2021. 

Kemudian pada bulan ini, empat objek – termasuk belon udara panas yang dikatakan oleh pegawai AS akan menjalankan perisikan untuk China – ditembak jatuh di atas Amerika Utara, seterusnya merenggangkan hubungan. 

November lalu, Trudeau berkata beliau sudah berbincang dengan Presiden Xi Jinping mengenai isu campur tangan China dalam hal ehwal Kanada di luar sidang kemuncak G20 di Bali. 

Pegawai China enggan mengesahkan butiran perbincangan itu.