- Iklan -
Luar Sana

PM Thailand akan bubarkan Parlimen sebelum penggal berakhir bulan depan

Mengikut garis masa dalam perlembagaan, pilihan raya mesti diadakan sebelum 7 Mei.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha. Gambar: Reuters

Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha sudah mempunyai “tarikh yang sesuai” untuk membubarkan Parlimen, sambil berkata beliau akan mengumumkannya sebelum penggal berakhir lewat bulan depan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh itu dalam ucapannya kepada pemberita lewat semalam. Ini merupakan kali pertama Parlimen akan dibubarkan lebih awal. 

Mengikut garis masa dalam perlembagaan, pilihan raya mesti diadakan sebelum 7 Mei. 

Pilihan raya dijangka menyaksikan pertembungan sengit bagi merebut jawatan perdana menteri antara bekas ketua tentera dan keluarga bilionair Shinawatra, yang dipilih dan digulingkan menerusi rampasan kuasa pada 2006 dan 2014. 

Prayuth, 68, berdepan sentimen negatif berdasarkan tinjauan umum baru-baru ini berbanding Paetongtarn Shinawatra dari Parti Pheu Thai, anak perempuan kepada Thaksin Shinawatra yang berusia 36 tahun dan anak saudara Yingluck Shinawatra, kedua-duanya adalah bekas perdana menteri yang dibuang negeri. 

Beliau dijangka menentang mentor tentera berusia 77 tahun, Prawit Wongsuwan yang juga timbalan perdana menteri dan veteran politik berketurunan raja dari rejimen tentera diraja.

Pembubaran awal Parlimen boleh memberi kelebihan kepada Prayuth, yang bulan lalu menyertai parti baharu, United Thai Nation, kerana ia akan membolehkan lebih ramai ahli direkrut. 

Mengikut peraturan pilihan raya, pembubaran awal akan mengurangkan tempoh minimum keahlian parti untuk calon pilihan raya daripada 90 hari kepada 30 hari. 

Partinya perlu melakukan banyak perkara selepas berada pada kedudukan keenam dalam tinjauan pendapat yang dijalankan bulan lepas dengan hanya mendapat 4.8% sokongan daripada responden.

Parti Pheu Thai menduduki tempat teratas dengan 23.4% sokongan.

Prayuth mentadbir negara itu dalam rampasan kuasa 2014, menjanjikan pemerintahannya hanya sementara. 

Beliau berkhidmat sebagai perdana menteri junta dan kekal sebagai perdana menteri selepas pilihan raya 2019.