- Iklan -
Luar Sana

Erdogan tidak cadang tangguh pilihan raya Turkiye

Presiden Turkiye mahu pengundian dijalankan pada 14 Mei manakala beberapa ahli partinya mahukan ia dibuat pada 18 Jun.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada satu majlis di Bilecik, Turkey, 27 Januari. Gambar: Reuters
Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada satu majlis di Bilecik, Turkey, 27 Januari. Gambar: Reuters

Parti Keadilan dan Pembangunan yang memerintah Turkiye tidak membincangkan mengenai penangguhan pilihan raya umum, maka dua tarikh yang dipilih sebelum ini kekal tidak berubah, lapor Sputnik memetik akhbar Hurriyet pada Jumaat.

Presiden Recep Tayyip Erdogan mahu pengundian dijalankan pada 14 Mei manakala beberapa ahli parti mahukan ia dibuat pada 18 Jun. Belum ada keputusan atau hasrat untuk menukar tarikh pilihan raya parlimen dan presiden, lapor akhbar itu.

Pada minggu lepas, ketua parti pembangkang Meral Aksener berkata pilihan raya mungkin ditangguhkan dari 14 Mei kepada 18 Jun ekoran gempa bumi dasyat yang melanda Turkiye.

Pembangkang menggesa parti pemerintah supaya tidak menjadikan bencana itu sebagai alasan untuk menangguhkan pilihan raya.

Pada Khamis, stesen penyiar Haberturk melaporkan bahawa pilihan raya umum di negara itu boleh ditangguhkan untuk tempoh enam bulan hingga setahun, dengan majlis pilihan raya dijangka membenarkan penangguhan itu atas permintaan parti pemerintah.