- Iklan -
Luar Sana

Sekutu Nato timbang bekal lebih banyak senjata api kepada Ukraine

Kebanyakan sasaran meriam Rusia tertumpu pada Bakhmut, sebuah bandar yang dibom di wilayah Donetsk yang juga sasaran utama Presiden Vladimir Putin.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota tentera Ukraine duduk di atas kenderaan tempur infantri BMP-2 di jalan raya di luar bandar Bakhmut, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di wilayah Donetsk, 11 Februari. Gambar: Reuters
Anggota tentera Ukraine duduk di atas kenderaan tempur infantri BMP-2 di jalan raya di luar bandar Bakhmut, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di wilayah Donetsk, 11 Februari. Gambar: Reuters

Tentera Rusia mengebom kubu pertahanan tentera Ukraine dan beberapa bandar di timur wilayah Donetsk semalam dalam apa yang dilihat sebagai satu tindakan ofensif terbaru, ketika sekutu Barat bertemu untuk membincangkan penghantaran lebih banyak senjata api ke Kyiv.

Kebanyakan sasaran meriam Rusia tertumpu pada Bakhmut, sebuah bandar yang dibom di wilayah Donetsk yang juga sasaran utama Presiden Vladimir Putin. 

Tentera Ukraine yang berada di sana mengukuhkan kedudukan untuk menjangkakan pertempuran jalanan. 

“Tiada satu meter persegi pun yang selamat di Bakhmut atau tidak dibedil atau diserang dron musuh,” kata gabenor wilayah itu, Pavlo Kyrylenko kepada penyiar kebangsaan Ukraine. 

Beliau berkata meriam Rusia melancarkan serangan terhadap kubu pertahanan di Donetsk, termasuk wilayah Luhansk hingga ke Donbas, kawasan perindustrian Ukraine yang menjadi sasaran utama Rusia.

Jika Bakhmut mampu ditawan, maka ia akan menjadi batu loncatan kepada Rusia untuk mara ke atas dua bandar besar iaitu Donetsk, Kramatorsk dan Sloviansk, serta memberikan momentum baharu kepada Moscow selepas beberapa bulan tewas dalam pertempuran berikutan pencerobohannya sejak Februari tahun lalu.

Jurucakap Rumah Putih John Kirby di Washington berkata tentera Rusia membuat kemajuan tambahan dalam serangan mereka ke atas Bahkmut tetapi masih tidak jelas sama ada bandar itu akan jatuh atau tidak. 

Dengan ulang tahun pertama pencerobohan Rusia semakin hampir, Kremlin memperhebatkan operasi merentasi kawasan di selatan dan timur Ukraine, dan serangan terbaru yang besar dijangka secara meluas. 

Setiausaha Pertahanan AS Lloyd Austin berkata beliau menjangkakan Ukraine akan melancarkan serangan sendiri terhadap Rusia pada musim bunga. 

"Ukraine mahu mencipta momentum," katanya kepada pemberita selepas menteri pertahanan negara-negara Nato dan sekutu Ukraine lain bertemu di Brussels untuk membincangkan mengenai persiapan Kyiv dengan lebih banyak bantuan ketenteraan. 

Beliau berkata sekutu Barat akan membekalkan lebih banyak peluru secepat mungkin dan kekal bersatu di belakang Kyiv walau berapa lama masa yang diperlukan untuk mematahkan pencerobohan Rusia.

Barisan pertahanan Ukraine kini lebih bersiap sedia berbanding apa yang boleh dibuat oleh Barat.