- Iklan -
Luar Sana

Laporan AS dakwa Rusia tahan lebih 6,000 budak Ukraine untuk 'pendidikan semula'

Budak paling kecil dikenal pasti cuma berusia empat bulan, malah beberapa kem memberi latihan ketenteraan kepada kanak-kanak seawal usia 14 tahun, menurut laporan disokong AS.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang kanak-kanak melihat melalui tingkap kereta api pemindahan, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di stesen kereta api di Pokrovsk, wilayah Donetsk, Ukraine, 13 Februari. Gambar: Reuters
Seorang kanak-kanak melihat melalui tingkap kereta api pemindahan, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di stesen kereta api di Pokrovsk, wilayah Donetsk, Ukraine, 13 Februari. Gambar: Reuters

Rusia telah menahan sekurang-kurangnya 6,000 kanak-kanak Ukraine di Crimea yang dikuasai Rusia dengan tujuan utama untuk pendidikan semula politik, menurut laporan disokong Amerika Syarikat (AS) yang diterbitkan pada Selasa.

Laporan itu mendakwa penyelidik Universiti Yale telah mengenal pasti sekurang-kurangnya 43 kem dan kemudahan lain di mana kanak-kanak Ukraine telah ditahan, yang merupakan sebahagian daripada "rangkaian sistematik berskala besar" dikendalikan Moscow sejak pencerobohan ke atas Ukraine pada Februari 2022.

Kanak-kanak itu termasuk mereka yang mempunyai ibu bapa atau penjaga, mereka yang dianggap Rusia sebagai anak yatim, orang lain yang berada dalam jagaan institusi negara Ukraine sebelum pencerobohan dan mereka yang hak penjagaannya tidak jelas atau tidak pasti akibat perang, katanya.

"Tujuan utama kemudahan kem yang kami kenal pasti nampaknya adalah pendidikan semula politik," kata salah seorang penyelidik Nathaniel Raymond, dalam taklimat kepada pemberita.

Beberapa kanak-kanak telah dipindahkan melalui sistem dan diterima sebagai keluarga Rusia, atau dipindahkan ke pusat jagaan di Rusia, kata laporan itu.

Kanak-kanak paling kecil yang dikenal pasti dalam program Rusia itu cuma berusia empat bulan, dan beberapa kem memberi latihan ketenteraan kepada kanak-kanak seawal 14 tahun, kata Raymond, menambah bahawa penyelidik tidak menemui bukti kanak-kanak itu kemudiannya dikerahkan dalam pertempuran.

Kedutaan Rusia di Washington tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas laporan itu.

Moscow telah menafikan ia sengaja menyasarkan orang awam dalam apa yang digelarnya sebagai "operasi ketenteraan khas" di Ukraine, dan telah menolak dakwaan sebelum ini ia telah memindahkan warga Ukraine secara paksa.

Laporan itu merupakan yang terbaru diterbitkan Yale University School of Public Health's Humanitarian Research Lab sebagai sebahagian daripada projek disokong Jabatan Negara yang meneliti pelanggaran hak asasi manusia dan jenayah perang didakwa dilakukan Rusia.

"Apa yang didokumenkan dalam laporan ini adalah pelanggaran jelas Konvensyen Geneva ke-4," perjanjian yang melindungi orang awam semasa perang, kata Raymond. Katanya, ia juga boleh menjadi bukti bahawa Rusia telah melakukan pembunuhan beramai-ramai semasa perangnya di Ukraine, kerana pemindahan kanak-kanak untuk tujuan menukar, mengubah atau menghapuskan identiti kebangsaan boleh membentuk satu tindakan komponen jenayah pembunuhan beramai-ramai.

Pendakwa raya Ukraine berkata mereka sedang meneliti dakwaan pengusiran paksa kanak-kanak sebagai sebahagian daripada usaha untuk membina dakwaan ke atas Rusia berhubung pembunuhan beramai-ramai.

Tambah Raymond, para penyelidik percaya bilangan kemudahan di mana kanak-kanak Ukraine ditahan melebihi 43.