- Iklan -
Luar Sana

Air India rekod tempahan pesawat Airbus, Boeing hampir 500

Janji niaga itu termasuk 220 pesawat daripada Boeing dan 250 daripada Airbus dan ia sekali gus mengatasi rekod sebelumnya untuk sebuah syarikat penerbangan.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Logo syarikat penerbangan Air India di ibu pejabat korporatnya di Mumbai, India, 19 Oktober 2021. Gambar: Reuters
Logo syarikat penerbangan Air India di ibu pejabat korporatnya di Mumbai, India, 19 Oktober 2021. Gambar: Reuters

Air India mendedahkan janji niaga pembelian 470 jet daripada Airbus dan Boeing, sekali gus mempercepatkan kebangkitan semula syarikat penerbangan negara itu di bawah pemilik baharunya Tata Group ketika Eropah dan Amerika Syarikat (AS) memuji hubungan ekonomi yang semakin erat dengan New Delhi.

Janji niaga itu termasuk 220 pesawat daripada Boeing dan 250 daripada Airbus dan mengatasi rekod sebelumnya untuk sebuah syarikat penerbangan ketika Air India bersaing dengan gergasi domestik IndiGo untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk teramai dunia itu tidak lama lagi. 

Presiden AS Joe Biden menyifatkan perjanjian itu sebagai "bersejarah". 

Tempahan Airbus termasuk 210 pesawat bersaiz kecil A320neo dan 40 pesawat lebar A350, yang akan digunakan Air India untuk memberi perkhidmatan udara pada jarak jauh, kata Pengerusi Tata N Chandrasekaran. 

Boeing akan membekalkan 190 kapal terbang jenis 737 MAX, 20 unit 787 Dreamliners dan 10 mini-jumbo 777X.

Bersama-sama dengan 25 lagi jet Airbus yang akan dipajak untuk memenuhi keperluan segera, perolehan keseluruhan syarikat itu mencecah 495 jet, kata seorang eksekutif Airbus. 

Reuters secara eksklusif melaporkan bahawa Air India hampir mencapai rekod tempahan kapal terbang menghampiri 500 jet pada Disember tahun lalu. 

Kebangkitan syarikat penerbangan itu di bawah konglomerat Tata bertujuan untuk memanfaatkan pangkalan penerbangan India yang semakin berkembang dan diaspora terbesar di seluruh dunia. 

Ketua Eksekutif baharu Campbell Wilson, sedang berusaha untuk memulihkan reputasinya sebagai syarikat penerbangan bertaraf dunia dan memperbaik imejnya sebagai pengendali yang lambat dan rosak dengan pesawat yang semakin uzur serta perkhidmatan lemah. 

Perdana Menteri India Narendra Modi dan Presiden Perancis Emmanuel Macron menekankan kepentingan politik dan perjanjian ekonomi yang melibatkan syarikat penerbangan India itu.

"Perjanjian penting ini menunjukkan kejayaan dan aspirasi sektor penerbangan awam di India, bersama-sama memperkukuhkan hubungan antara India dan Perancis," kata Modi. 

"Pencapaian ini menunjukkan bahawa Airbus dan semua rakan kongsi Perancisnya berdedikasi sepenuhnya untuk membangunkan bidang baharu dengan India," kata Macron semasa persembahan video. 

Perjanjian penerbangan itu dijangka menjana pertumbuhan industri, dengan Macron berikrar Perancis akan bekerjasama dengan India dalam sektor lain. 

Chandrasekaran berkata Airbus dan Tata sedang mengusahakan perkongsian yang lebih besar, termasuk cita-cita "untuk membawa masuk pembuatan pesawat komersial pada masa depan". 

Sumber industri berkata India berulang kali melobi agar Airbus menambah barisan pemasangan terakhir di negara itu, sepadan dengan kilang di utara China, tetapi pembuat pesawat itu setakat ini menolak idea itu atas alasan kewangan dan masalah perindustrian.