- Iklan -
Luar Sana

Afrika Selatan isytihar darurat berikutan La Nina

Mpumalanga dan timur Cape adalah kawasan yang teruk terjejas akibat banjir disebabkan hujan lebat susulan fenomena La Nina.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa. Gambar: Reuters
Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa. Gambar: Reuters

Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa mengisytiharkan darurat bencana kebangsaan bagi membolehkan tindak balas intensif terhadap banjir yang berlaku hingga menjejaskan tujuh daripada sembilan wilayah di negara itu. 

Menurut kenyataan pejabat presiden yang dikeluarkan semalam, Mpumalanga dan timur Cape adalah kawasan yang teruk terjejas akibat banjir disebabkan hujan lebat susulan fenomena La Nina.

Selain itu, kawasan Gauteng, KwaZulu-Natal, Limpopo, utara dan barat laut Cape turut mengalami banjir.

Akta bencana negara memberi kuasa tambahan kepada kerajaan, termasuk dalam pemerolehan dan penghantaran barangan dan perkhidmatan serta keupayaan untuk memintas sekatan di bawah undang-undang semasa. 

Menurut kenyataan itu, polis dan pasukan pertahanan mungkin digerakkan untuk membantu dalam situasi berkenaan. 

Banjir mengakibatkan kerosakan rumah dan kenderaan yang dinaiki air hingga "memusnahkan infrastruktur asas".

Katanya, petani dijangka mengalami kerugian tanaman dan ternakan berterusan kerana perkhidmatan kaji cuaca kerajaan meramalkan corak cuaca akan kekal "pada awal tahun 2023”. 

Ramaphosa mengisytiharkan darurat bencana kebangsaan minggu lalu berikutan krisis kuasa di Afrika Selatan, susulan pemotongan bekalan elektrik yang melumpuhkan perniagaan. 

Akta bencana negara juga digunakan pada Mac 2020 untuk menangani pandemik Covid-19, dan April lalu sebagai tindak balas terhadap banjir di wilayah timur KwaZulu-Natal.