- Iklan -
Luar Sana

Palestin akan rayu keahlian penuh PBB, kata Mahmoud Abbas

Rakyat Palestin meminta pengiktirafan diplomatik terhadap wilayah Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, yang sebahagiannya diduduki oleh Israel, dan Semenanjung Gaza.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Presiden Palestin Mahmoud Abbas membaca kenyataan ketika mesyuarat bersama Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di Ramallah, 31 Januari. Gambar: Reuters
Presiden Palestin Mahmoud Abbas membaca kenyataan ketika mesyuarat bersama Setiausaha Negara AS, Antony Blinken di Ramallah, 31 Januari. Gambar: Reuters

Pihak Berkuasa Palestin (PA) akan merayu kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menerima pakai resolusi yang memastikan penyelesaian dua negara dengan memberikan Palestin keahlian penuh dalam pertubuhan itu, kata Presiden Mahmoud Abbas pada Ahad.

“Dalam tempoh beberapa hari akan datang, PA akan memohon kepada PBB termasuk Majlis Keselamatan bagi menuntut resolusi mempertahankan penyelesaian dua negara dengan memberikan Palestin keahlian penuh dalam PBB,” kata Abbas ketika Persidangan Baitulmaqdis di Kaherah, ibu pejabat Liga Negara Arab.

Pemimpin Palestin itu menambah teks resolusi itu harus menekankan "penamatan tindakan unilateral dan aktiviti penempatan, melebihi segalanya", lapor Sputnik.

"Palestin berhak, dan akan terus memohon kepada mahkamah dan organisasi antarabangsa untuk melindungi hak rakyatnya," kata presiden itu.

Pada akhir Disember 2022, Perhimpunan Agung PBB menerima pakai resolusi yang menyeru Mahkamah Keadilan Antarabangsa menilai akibat dari segi undang-undang mengenai pendudukan Israel di wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Israel dan Palestin bermusuhan sejak penubuhan Israel pada 1948. 

Rakyat Palestin meminta pengiktirafan diplomatik terhadap wilayah Tebing Barat, termasuk Baitulmaqdis Timur, yang sebahagiannya diduduki oleh Israel, dan Semenanjung Gaza. 

Kerajaan Israel enggan mengiktiraf Palestin sebagai entiti politik dan diplomatik yang bebas dan membina penempatan di kawasan yang diduduki walaupun mendapat bantahan daripada PBB.