- Iklan -
Luar Sana

Rusia lancar serangan terbaru di timur Ukraine, kata pegawai

Presiden Ukraine berkata beberapa pemimpin EU sudah berjanji sediakan pesawat termasuk jet pejuang.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Kepulan asap akibat tembakan kelihatan di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di bandar Bakhmut di wilayah Donetsk, Ukraine, 9 Februari. Gambar: Reuters
Kepulan asap akibat tembakan kelihatan di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di bandar Bakhmut di wilayah Donetsk, Ukraine, 9 Februari. Gambar: Reuters

Pegawai Ukraine di timur, tempat pertempuran paling sengit dalam perang dengan Rusia, berkata Moscow telah mula membuat serangan terbaru, ketika Presiden Volodymyr Zelensky berkata beberapa pemimpin Eropah bersedia untuk membekalkan pesawat kepada Kyiv.

Zelensky, yang kini berada di Brussels berkata, beberapa pemimpin Kesatuan Eropah (EU) memberitahunya pada sidang kemuncak pada Khamis yang mereka bersedia untuk melengkapkan Ukraine dengan pesawat termasuk jet pejuang. Jika disahkan, ini akan menjadi salah satu anjakan terbesar dalam sokongan Barat.

Kyiv meramalkan serangan agresif dari Moscow bertujuan untuk menunjukkan kekuatannya sempena ulang tahun pencerobohan Rusia pada 24 Februari semakin hampir. 

Ditanya di televisyen Ukraine jika beliau bersetuju yang serangan Rusia sudah bermula, gabenor wilayah timur Donetsk Pavlo Krylenko berkata: "Ya, semestinya."

Di sekitar pekan timur seperti Bakhmut, Avdiivka dan Vuhledar yang telah menyaksikan beberapa pertempuran paling dahsyat, "musuh sudah meningkatkan serangan setiap hari. Mereka cuba... merampas kawasan dan bandar utama ini... untuk mendapatkan kejayaan terbaru," katanya.

Kawasan Donbas yang lebih luas di timur, terdiri daripada Donetsk dan Luhansk, telah menjadi salah satu matlamat utama Rusia, malah pada musim luruh Kremlin mengisytiharkan ia sebagai antara empat wilayah yang yang berjaya dirampas.

"Sepanjang seminggu lepas hingga 10 hari, kekerapan serangan telah meningkat. Jumlah serangan harian meningkat," kata gabenor Luhansk Serhiy Haidai kepada Radio Ukraine NV pada Khamis. "Dari segi sebenar, ini adalah sebahagian daripada serangan berskala penuh yang dirancang oleh Rusia."

Beliau berkata terdapat serangan besar terbaru Rusia di sekitar Kreminna, di sepanjang utara di bahagian timur Ukraine, tetapi tentera Moscow "tidak memperoleh kejayaan yang ketara."

Reuters tidak boleh mengesahkan secara bebas mengenai keadaan medan perang buat masa ini.