- Iklan -
Luar Sana

Kremlin nafi Putin terlibat dalam kejadian MH17

Hasil siasatan itu tidak dapat diterima kerana Rusia tidak ambil bahagian, kata jurucakap Kremlin.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: Reuters
Presiden Rusia Vladimir Putin. Gambar: Reuters

Kremlin pada Khamis menolak penemuan pendakwa raya antarabangsa yang mendakwa mereka ada "petunjuk kukuh" penglibatan Presiden Rusia Vladimir Putin dalam insiden pesawat MH17 yang ditembak jatuh.

Pada Rabu, pendakwa raya berkata terdapat "petunjuk kukuh" Putin secara peribadi meluluskan pemindahan peluru berpandu kepada pemisah pro-Rusia semasa pertempuran di timur Ukraine pada 2014.

Dalam respons pertama Moscow, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov berkata Rusia "tidak dapat terima" hasil siasatan kerana ia tidak mengambil bahagian dalam proses itu. Beliau juga berkata penyiasat tidak mengemukakan bukti yang disokong secara terbuka.

MH17 ditembak jatuh oleh sistem peluru berpandu BUK Rusia ketika ia terbang melintasi timur Ukraine dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai 2014, mengorbankan kesemua 298 orang di dalamnya, termasuk 196 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia dan 38 penduduk Australia.

Ketika itu, pemisah yang disokong Rusia sedang berperang dengan tentera Ukraine untuk mengawal wilayah timur Donbas.

Pendakwa raya memetik panggilan telefon yang dipintas atas penemuan mereka itu, tetapi berkata bukti penglibatan langsung Putin - atau pegawai Rusia lain - tidak cukup muktamad bagi meneruskan sabitan jenayah, dan menghentikan siasatan.

Rusia telah berkali-kali menafikan penglibatannya dalam kejadian itu. Peskov pada Khamis menolak bukti yang telah dikemukakan oleh penyiasat.

"Kami tahu rakaman panggilan telefon yang sepatutnya telah diterbitkan... di mana tiada satu perkataan pun dikatakan mengenai senjata. Walaupun menganggap perbualan ini adalah benar... tidak ada satu perkataan pun tentang senjata. Tiada siapa yang telah menerbitkan apa-apa lagi, jadi mustahil untuk mengatakan apa-apa," kata Peskov kepada pemberita.

Ditanya secara khusus mengenai dakwaan bahawa Putin meluluskan penghantaran sistem peluru berpandu BUK kepada pemisah pro-Moscow di Ukraine, Peskov berkata: "Rusia tidak mengambil bahagian dalam siasatan itu, jadi kami tidak dapat terima keputusan tersebut, terutamanya apabila tiada asas untuk kenyataan yang telah didedahkan kepada umum itu."

Berikutan kemusnahan pesawat itu, Belanda, Australia, Belgium, Ukraine dan Malaysia menubuhkan pasukan penyiasat bersama bagi menentukan siapa yang bertanggungjawab selain mengumpulkan bukti untuk pendakwaan jenayah.

Pada November, mahkamah Belanda mensabitkan dua bekas ejen perisikan Rusia dan seorang pemimpin pemisah Ukraine atas pembunuhan tersebut kerana membantu mengatur sistem peluru berpandu yang digunakan untuk menembak jatuh pesawat MH17 itu. Mereka, yang dibicarakan tanpa hadir di mahkamah, masih bebas.