- Iklan -
Luar Sana

Greece larang parti dengan pemimpin disabitkan kesalahan bertanding pilihan raya

Pindaan perlembagaan dibuat bagi menghalang parti ekstrem kanan bertanding.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis berucap kepada penggubal undang-undang semasa perbahasan Parlimen di Athens, Greece, 27 Januari. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Greece Kyriakos Mitsotakis berucap kepada penggubal undang-undang semasa perbahasan Parlimen di Athens, Greece, 27 Januari. Gambar: Reuters

Menjelang pilihan raya tahun ini, Parlimen Greece membuat pindaan perlembagaan mengharamkan parti politik yang pemimpinnya disabitkan dengan kesalahan jenayah daripada bertanding.

Pindaan yang diluluskan secara majoriti oleh ahli Parlimen pada Rabu itu bertujuan menghalang parti politik berhaluan kanan seperti Golden Dawn, yang pernah menjadi kuasa politik ketiga terbesar Greece daripada bertanding. 

Parti tersebut diisytiharkan sebagai kumpulan penjenayah yang dikaitkan dengan jenayah kebencian dalam keputusan mahkamah pada 2020.

Pindaan itu juga bakal menjejaskan parti kecil haluan kanan Ellhnes atau Ellines, bermaksud "Yunani", yang diasaskan bersama oleh bekas ahli Parlimen dan jurucakap Golden Dawn, Ilias Kasidiaris, yang dijatuhi hukuman penjara 13 tahun pada 2020.

Dibentangkan oleh kerajaan konservatif, pindaan tersebut diluluskan oleh majoriti ahli Parlimen dalam dewan 300 kerusi itu.

"Tiada sesiapa di dalam bilik ini mahu melaluinya lagi... Wakil rakyat kepada segelintir orang menjadi pemicu keganasan terhadap rakyat, yang membawa kepada pembunuhan kejam dan kecederaan," kata Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis sebelum pengundian.

Golden Dawn telah dikaitkan dengan pembunuhan seorang penyanyi rap antifasisme dan beberapa serangan ganas terhadap musuh politik, pendatang asing dan aktivis haluan kiri. Perbicaraan rayuan anggota Golden Dawn yang disabitkan kesalahan, termasuk Kasidiaris, bermula Jun lalu dan dijangka berlangsung sehingga dua tahun.

Dalam satu kenyataan, Kasidiaris menuntut agar pindaan itu ditarik balik serta-merta, selain menuduh kerajaan "merancang menentang demokrasi" untuk kepentingan sendiri.

Di bawah pindaan itu, parti tidak boleh bertanding dalam pilihan raya jika "pemimpin sebenar" mereka, bukan sahaja wakil rasmi mereka, telah disabitkan dengan kesalahan jenayah yang membawa kepada sebarang jenis hukuman, daripada pengkhianatan atau pengintipan kepada mengambil bahagian dalam jenayah terancang.

Perlembagaan Greece melarang individu yang mempunyai rekod jenayah daripada bertanding dalam pilihan raya, dengan syarat kesalahan orang itu telah disahkan pada semua peringkat proses undang-undang dan rayuannya selesai.

Mahkamah tertinggi memutuskan sama ada parti memenuhi syarat untuk bertanding dalam pilihan raya.

Parti haluan kiri, Syriza, pembangkang utama menuduh kerajaan menggunakan taktik untuk memenangi pengundi haluan kanan sebelum pilihan raya negara.