- Iklan -
Luar Sana

Australia ikrar mahu Rusia bertanggungjawab kejadian MH17

Rusia nafi terlibat, tolak keputusan mahkamah sebagai "skandal", bermotifkan politik.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Pekerja mengangkut serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 di lokasi nahas pesawat berhampiran perkampungan Hrabove di wilayah Donetsk, timur Ukraine, 20 November 2014. Gambar: Reuters
Pekerja mengangkut serpihan pesawat Malaysia Airlines MH17 di lokasi nahas pesawat berhampiran perkampungan Hrabove di wilayah Donetsk, timur Ukraine, 20 November 2014. Gambar: Reuters

Australia pada Khamis berjanji untuk menekan Rusia supaya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17, selepas pasukan penyiasat antarabangsa menghentikan siasatannya.

Pasukan itu berkata terdapat "petunjuk kukuh" Presiden Rusia Vladimir Putin secara peribadi secara peribadi meluluskan pemindahan peluru berpandu kepada pemisah pro-Rusia semasa pertempuran di timur Ukraine pada 2014.

Pesawat Boeing 777 itu ditembak jatuh di Ukraine, mengorbankan kesemua 298 orang di dalamnya, termasuk 196 warga Belanda, 43 rakyat Malaysia dan 38 penduduk Australia.

Menteri Luar Australia Penny Wong dan peguam negara Mark Dreyfus pada Khamis berkata Rusia telah berulang kali cuba menggagalkan siasatan, menjadikannya "mustahil" untuk mengumpul bukti.

"Pencerobohan haram dan tidak bermoral Rusia ke atas Ukraine dan kekurangan kerjasama dengan penyiasatan telah menyebabkan usaha mengumpul bukti mustahil pada masa ini," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Tambah mereka, Australia akan "membuatkan Rusia bertanggungjawab atas peranannya dalam menjatuhkan pesawat awam".

Mahkamah Belanda pada November tahun lepas mensabitkan tiga suspek yang tidak hadir dalam perbicaraan atas peranan mereka dalam malapetaka MH17 itu.

Ketiga-tiga mereka - dua warga Rusia Igor Girkin dan Sergei Dubinsky dan seorang dari Ukraine Leonid Kharchenko - kekal bebas dan tidak mungkin akan menjalani hukuman penjara seumur hidup.

Rusia telah menafikan sebarang penglibatan dan menolak keputusan mahkamah tahun lalu sebagai "skandal" dan bermotifkan politik.

Keluarga mangsa berkata mereka kecewa dengan keputusan menghentikan siasatan.

"Kami harapkan lebih daripada itu," kata Piet Ploeg, pengerusi yayasan MH17, yang kehilangan abang, kakak ipar dan anak saudaranya.