- Iklan -
Luar Sana

Moscow perhebat serangan, bekalan senjata untuk Ukraine ambil masa berbulan lagi

Kremlin dijangka sasar timur laut Kharkiv, selatan Zaporizhzhia menjelang ulang tahun pertama pencerobohan, menurut ketua keselamatan Ukraine.

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Tentera Ukraine menghadiri latihan di sempadan dekat Belarus, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, pada 3 Februari. Gambar: Reuters
Tentera Ukraine menghadiri latihan di sempadan dekat Belarus, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, pada 3 Februari. Gambar: Reuters

Tentera Rusia meningkatkan serangan di timur Ukraine apabila mengerahkan berpuluh ribu tentera baru di medan perang dengan Kyiv menjangkakan Moscow bakal meluaskan serangannya di bandar-bandar di timur laut dan selatan.

Pada Selasa, tentera Ukraine berkata 1,030 tentera Rusia terbunuh dalam tempoh 24 jam, jumlah korban harian tertinggi. Angka itu tidak dapat disahkan secara bebas.

Dalam pada itu Rusia turut mendakwa membunuh sejumlah besar tentera Ukraine sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Moscow berkata ia telah mengorbankan 6,500 warga Ukraine pada bulan Januari sahaja.

Dalam satu temu bual pada Selasa, ketua keselamatan Ukraine Oleksiy Danilov berkata Kremlin dijangka menyasarkan wilayah timur laut Kharkiv atau selatan Zaporizhzhia dalam serangan terbaharu.

"Percubaan untuk menyerang sama ada di arah Kharkiv atau Zaporizhzhia sudah tentu akan dilaksanakan," katanya kepada Reuters di pejabatnya di Kyiv. "Sama ada mereka berjaya atau tidak, ianya bergantung kepada kami."

Pada petang Selasa, Angkatan Tentera Ukraine berkata lebih daripada 30 bandar dan perkampungan di Kharkiv dan 20 komuniti di Zaporizhzhia diserang.

Pegawai tertinggi Ukraine termasuk presidennya Volodymyr Zelenskiy berkata Moscow akan melancarkan satu lagi serangan besar dengan tentera yang baru dikerahkan dalam beberapa minggu akan datang, menjelang ulang tahun pertama pencerobohan Rusia pada 24 Februari.

"Mereka perlu ada sesuatu untuk ditunjukkan kepada rakyat mereka, dan mempunyai keinginan tinggi untuk melakukan sesuatu yang besar, menjelang tarikh itu," kata Danilov.

Selepas Rusia gagal menawan ibu negara Ukraine, Kyiv tahun lepas dan kalah pada separuh kedua 2022, Moscow kini menggunakan sepenuhnya ratusan ribu tentera yang dikerahkan pada musim luruh dalam mobilisasi pertamanya sejak Perang Dunia Kedua.

Pertempuran tertumpu selama berbulan-bulan di sekitar Bakhmut yang dikuasai Ukraine di wilayah timur Donetsk, sebuah bandar dengan populasi sebelum perang sekitar 75,000. Rusia telah mencapai kemajuan apabila mengepung bandar itu dari utara dan selatan, namun Kyiv berkata pertahanannya masih kukuh.

"Akan ada pengunduran dari Bakhmut jika terdapat risiko pengepungan," kata penganalisis tentera Ukraine Oleksiy Hetman kepada Radio NV Ukraine.

"Tidak ada gunanya kehilangan lebih ramai orang. Bakhmut tidak ada nilai strategik yang bagus. Buat masa ini, kami mampu bertahan."

Senjata baru ambil masa berbulan lagi

Setakat tahun ini, negara-negara Barat telah menjanjikan ratusan kereta kebal dan kenderaan berperisai untuk Ukraine bagi memberikannya kekuatan dan mobiliti menentang kemaraan Rusia selain menawan semula wilayah mereka.

Menteri Luar Ukraine Dmytro Kuleba berkata di Twitter beliau bercakap pada Selasa dengan Setiausaha Negara AS Antony Blinken mengenai bantuan ketenteraan baharu, sekatan ke atas Rusia dan "persediaan perkara penting."

Tetapi ia akan mengambil masa beberapa bulan sebelum senjata baru tiba, dan sementara itu Rusia telah menambah kekuatannya. Kremlin berkata bekalan senjata Barat hanya akan memburukkan lagi konflik.

“AS dan sekutunya cuba memanjangkan konflik itu sebanyak mungkin,” kata Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu pada Selasa dalam panggilan persidangan dengan pegawai tentera.

"Untuk buat demikian, mereka telah mula bekalkan senjata berat, secara terbuka menggesa Ukraine untuk merampas wilayah kita. Malah, langkah sedemikian mengheret negara Nato ke dalam konflik dan boleh membawa kepada tahap yang tidak dapat diramalkan."

Penggunaan frasa "wilayah kita" oleh Shoigu merujuk kepada empat wilayah Ukraine yang diambil Rusia dari Ukraine pada 2014.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.