- Iklan -
Luar Sana

AS tamatkan perintah darurat Covid-19

Ia berikutan jumlah jangkitan harian berkurangan di negara itu walaupun 500 orang dilaporkan meninggal dunia akibat wabak tersebut.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Pasukan Perkhidmatan Polis Rahsia AS berkawal di luar Rumah Putih di Washington, 28 Januari. Gambar: Reuters
Pasukan Perkhidmatan Polis Rahsia AS berkawal di luar Rumah Putih di Washington, 28 Januari. Gambar: Reuters

Pentadbiran Presiden Joe Biden mengumumkan akan menamatkan perintah darurat Covid-19 pada 11 Mei, hampir tiga tahun selepas Amerika Syarikat mengenakan langkah pembendungan menyeluruh untuk mengekang penularan wabak itu. 

Perintah darurat kebangsaan dan kesihatan awam (PHE) Covid-19 dikuatkuasakan pada 2020 oleh Presiden Donald Trump ketika itu. 

Biden berulang kali melanjutkan langkah, yang membolehkan berjuta-juta rakyat negara itu melakukan ujian saringan, mendapatkan vaksin dan rawatan percuma. 

Pejabat Pengurusan dan Belanjawan (OMB) Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, pengumuman itu yang akan tamat tempoh dalam beberapa bulan akan datang, akan dilanjutkan lagi sehingga 11 Mei.

"Pelaksanaan ini adalah selaras dengan komitmen pentadbiran sebelum ini untuk memberi notis sekurang-kurangnya 60 hari sebelum penamatan PHE," kata OMB dalam satu kenyataan dasar pentadbiran. 

Kerajaan sudah membiayai vaksin Covid-19, beberapa ujian dan rawatan tertentu di bawah pengisytiharan PHE. 

Apabila tamat kelak, kos tersebut akan dipindahkan ke pihak insurans swasta dan pelan kesihatan kerajaan.

Menurut OMB, penamatan PHE turut akan menamatkan arahan, dikenali sebagai “Title 42”, bagi mengusir pendatang dari Nicaragua, Cuba dan Haiti yang ditangkap menyeberangi sempadan AS-Mexico kembali ke Mexico. 

OMB dalam kenyataan berasingan berkata, Biden akan meluluskan rang undang-undang di Kongres AS yang akan menghapuskan mandat vaksin Covid-19 untuk penyedia penjagaan kesihatan menjalankan program persekutuan tertentu. 

Kes Covid-19 semakin berkurangan di AS, walaupun data kerajaan menunjukkan lebih 500 orang maut setiap hari akibat wabak itu.