- Iklan -
Luar Sana

Pyongyang kenakan sekatan pergerakan susulan kes ‘masalah pernafasan’

Bagaimanapun, notis sekatan pergerakan itu tidak menyebut tentang Covid-19.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana persekitaran di Pyongyang pada 22 Januari. Gambar: AFP
Suasana persekitaran di Pyongyang pada 22 Januari. Gambar: AFP

Pihak berkuasa Pyongyang menguatkuasakan sekatan pergerakan selama lima hari berikutan peningkatan kes masalah pernafasan tidak menentu, lapor NK News yang berpangkalan di Seoul hari ini, memetik notis kerajaan.

Notis itu tidak menyebut tentang Covid-19, tetapi mengatakan bahawa penduduk di bandar itu diarahkan duduk di rumah hingga Ahad ini dan perlu merekodkan bacaan suhu beberapa kali setiap hari, menurut NK News yang memantau keadaan di Korea Utara.

Pada Selasa, laman web itu melaporkan bahawa penduduk Pyongyang dilihat menyimpan stok barangan kerana menjangkakan langkah yang lebih ketat. Tidak dapat dipastikan sama ada kawasan lain di negara ini mengenakan sekatan terbaru itu. 

Korea Utara mengesahkan kes Covid-19 pertamanya tahun lalu, tetapi menjelang Ogos republik itu mengisytiharkan bebas daripada virus tersebut. 

Republik itu tidak pernah mengesahkan berapa ramai orang yang dijangkiti Covid-19, kerana ia tidak mempunyai cara untuk menjalankan ujian meluas.

Sebaliknya, Korea Utara melaporkan bilangan harian pesakit yang mengalami demam, jumlah yang meningkat kepada kira-kira 4.77 juta, daripada populasi kira-kira 25 juta. Tetapi republik itu tidak melaporkan kes sedemikian sejak 29 Julai. 

Media Korea Utara terus melaporkan tentang langkah anti pandemik untuk memerangi penyakit pernafasan, termasuk selesema, tetapi masih belum melaporkan perintah berkurung. 

Pada Selasa, agensi berita negara KCNA berkata bandar Kaesong, berhampiran sempadan dengan Korea Selatan, mempergiatkan kempen komunikasi awam "supaya semua pekerja mematuhi peraturan anti pandemik secara sukarela ketika bekerja dan kehidupan mereka."