Hong Kong mansuh perintah kuarantin individu dijangkiti Covid-19
Keperluan pemansuhan perintah pengasingan tersebut adalah sebahagian daripada keputusan untuk menukar status keadaan Covid-19 negara itu
Terkini
Hong Kong memansuhkan perintah kuarantin terhadap individu yang dijangkit Covid-19 bermula 30 Januari ini. Ini sekali gus menghapuskan salah satu sekatan utama terakhir yang dilaksanakan di hab kewangan Asia itu.
Keperluan pemansuhan perintah pengasingan tersebut adalah sebahagian daripada keputusan untuk menukar status keadaan Covid-19 negara itu kepada endemik berbanding penyakit pernafasan akut teruk sejajar langkah serupa yang dilaksanakan China pada 8 Januari lalu.
"Saya memutuskan untuk membatalkan perintah kuarantin untuk pesakit yang dijangkiti Covid. Ini adalah salah satu langkah penting ke arah normalisasi," kata pemimpin negara itu, John Lee pada mesyuarat perundangan hari ini.
Rakyat Hong Kong, bagaimanapun, masih diwajibkan memakai pelitup muka kecuali ketika bersenam.
Minggu lalu, perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi antara Hong Kong dan tanah besar China disambung semula buat kali pertama sejak permulaan pandemik itu.
Pembukaan semula itu berlaku di tengah-tengah gelombang jangkitan besar-besaran di tanah besar selepas China membuat pusingan-U secara drastik terhadap dasar sifar Covid.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.