40 negara gesa Israel tarik balik sekatan ke atas rakyat Palestin
Kenyataan itu bukan sahaja ditandatangani oleh negara yang mengundi untuk resolusi ini tetapi juga beberapa negara berkecuali termasuk Jepun, Perancis dan Korea Selatan.
Terkini
Kira-kira 40 negara menggesa Israel menarik balik sekatan yang dikenakan ke atas pihak berkuasa Palestin awal bulan ini susulan desakan untuk meminta Mahkamah Dunia mengeluarkan pendapat dan nasihat mengenai pendudukan Israel.
Pada 30 Disember, Perhimpunan Agung PBB meluluskan resolusi meminta pendapat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai isu pendudukan Israel di wilayah Palestin.
Sebagai tindakan balas, Israel mengumumkan beberapa siri sekatan, termasuk sekatan kewangan, pada 6 Januari terhadap pihak berkuasa Palestin sebagai “hukuman” kerana mendesak resolusi itu.
Kira-kira 40 negara ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam satu kenyataan kepada wartawan semalam, mengesahkan "sokongan tidak berbelah bahagi" mereka kepada ICJ dan undang-undang antarabangsa, sambil menyatakan "kebimbangan mengenai keputusan kerajaan Israel untuk mengenakan tindakan menghukum terhadap rakyat Palestin, kepimpinan dan masyarakat sivil berikutan langkah terbabit.
"Tanpa mengira pendirian setiap negara mengenai resolusi itu, kami menolak langkah punitif sebagai tindak balas kepada permintaan untuk mendapatkan pendapat nasihat oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dan secara lebih meluas sebagai tindak balas kepada resolusi perhimpunan agung, dan menggesa agar mereka dihukum segera," kata ahli PBB.
Kenyataan itu bukan sahaja ditandatangani oleh negara yang mengundi untuk resolusi ini (antara lain Algeria, Argentina, Belgium, Ireland, Pakistan dan Afrika Selatan) tetapi juga oleh beberapa negara berkecuali – Jepun, Perancis dan Korea Selatan – serta negara yang menentang seperti Jerman dan Estonia.
“Ini penting kerana ia menunjukkan bahawa tidak kira bagaimana negara mengundi, mereka bersatu dalam menolak langkah punitif ini,” kata duta Palestin ke PBB, Riyad Mansour, dalam satu kenyataan.
Ditanya mengenai kenyataan ahli, jurucakap setiausaha agung PBB, Antonio Guterres mengulangi "kebimbangan mendalam" mengenai "langkah-langkah Israel baru-baru ini terhadap pihak berkuasa Palestin" sambil menegaskan bahawa "tidak sepatutnya ada tindakan balas" berhubung ICJ.
Mesyuarat Majlis Keselamatan PBB mengenai isu Palestin dijadualkan pada Rabu.
Pertemuan sebelumnya bulan ini, dibuat selepas lawatan seorang menteri Israel ke Masjid Al-Aqsa, membawa kepada pertikaman lidah antara diplomat Israel dan Palestin.
Langgan berita kami
Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.