- Iklan -
Luar Sana

Nato bayangkan lebih banyak senjata berat dibekal ke Ukraine

Ini selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mendakwa tenteranya berjaya menawan sebuah bandar di Ukraine.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Sebuah blok pangsapuri musnah teruk akibat dibedil peluru berpandu Rusia. Serangan terbaru Rusia menyasarkan kediaman di Dnipro, Ukraine pada 15 Januari. Gambar: Reuters
Sebuah blok pangsapuri musnah teruk akibat dibedil peluru berpandu Rusia. Serangan terbaru Rusia menyasarkan kediaman di Dnipro, Ukraine pada 15 Januari. Gambar: Reuters

Kiev bakal memperoleh lebih banyak penghantaran senjata berat dari negara Barat tidak lama lagi, menurut Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), hari ini.

Ini selepas Presiden Rusia Vladimir Putin mendakwa tenteranya berjaya menawan sebuah bandar di Ukraine.

Usaha menyelamat dramatik dilakukan di blok menara di timur Dnipro yang musnah akibat bedilan peluru berpandu Rusia menyebabkan 30 orang terbunuh dan dianggarkan 34 lagi hilang. 

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengutuk rakyat Rusia yang hanya mampu “berdiam diri” susulan serangan itu.

Zelensky berkata, Ukraine sudah menerima mesej simpati dari seluruh dunia atas "keganasan ini."

Setiausaha Agung Nato Jens Stoltenberg berkata Ukraine bakal memperoleh lebih banyak senjata berat merujuk kepada permintaan Kiev daripada sekutunya bagi pelbagai kenderaan tentera, artileri dan peluru berpandu yang dikatakan penting bagi menyekat serangan musuh.

"Janji baru-baru ini untuk menghantar peralatan perang berat adalah penting – dan saya menjangkakan lebih banyak lagi dalam masa terdekat," kata Stoltenberg kepada akhbar harian Jerman, Handelsblatt menjelang mesyuarat minggu ini bagi menyelaras bekalan senjata ke Kiev.

Sementara itu, Putin menyifatkan ia sebagai satu kejayaan besar selepas Rusia mendakwa berjaya menawan bandar Soledar di timur Ukraine, sebuah tapak perlombongan garam yang menempatkan 10,000 orang sebelum konflik.

"Terdapat dinamik positif, semuanya berkembang mengikut rancangan," kata Putin, dalam satu temu bual yang disiarkan semalam. 

"Saya berharap pejuang kami akan menggembirakan kami lebih daripada ini." 

Minggu lalu, Kementerian Pertahanan Rusia mengumumkan bahawa ia "menyempurnakan pembebasan" Soledar. 

Ini boleh menjadi keuntungan utama apabila tentera Rusia bergerak ke arah sasaran utama mereka sejak Oktober – persimpangan pengangkutan berhampiran Bakhmut.