- Iklan -
Luar Sana

Anak perempuan Elvis, Lisa Marie Presley meninggal dunia

Lisa Marie dikejarkan ke hospital selepas mengalami serangan jantung di rumahnya di pinggir bandar Los Angeles

Reuters
2 minit bacaan
Kongsi
Lisa Marie Presley ketika sesi penggambaran di Hollywood Barat, California. Gambar: Reuters
Lisa Marie Presley ketika sesi penggambaran di Hollywood Barat, California. Gambar: Reuters

Pemuzik dan anak perempuan tunggal legenda rock 'n' roll Elvis Presley, Lisa Marie Presley meninggal dunia pada usia 54 tahun selepas dikejarkan ke hospital di Los Angeles, kata ibunya.

"Dengan berat hati saya mesti berkongsi berita mendukacitakan bahawa anak perempuan saya Lisa Marie meninggalkan kami," kata ibunya, Priscilla Presley dalam satu kenyataan.

"Dia adalah wanita yang paling bersemangat, kuat dan penyayang yang pernah saya kenali. Kami mohon diberikan ruang," tambah kenyataan itu. 

Lisa Marie mengalami serangan jantung di rumahnya di pinggir bandar Los Angeles, menurut laman web hiburan TMZ. Dia kemudian dibawa ke hospital semalam. 

Dia dilahirkan pada 1968 dan merupakan pemilik rumah agam Graceland milik bapanya yang menjadi tarikan pelancong popular di Memphis. 

Lisa Marie berumur sembilan tahun sewaktu Elvis meninggal dunia di Graceland pada 1977.

Kerjaya muzik Lisa Marie bermula dengan album sulungnya "To Whom It May Concern" pada 2003. Ia diikuti "Now What" pada 2005, dan kedua-duanya mengungguli 10 tangga teratas carta album Billboard 200. 

Album ketiga, "Storm and Grace," diterbitkan pada 2012. 

Lisa Marie berkahwin sebanyak empat kali. Dia pernah berkahwin dengan bintang pop Michael Jackson, pada 1994, hanya 20 hari selepas bercerai dengan suami pertamanya, Danny Keough. 

Pasangan berprofil tinggi itu bercerai pada 1996 ketika Jackson sedang bergelut dengan dakwaan pencabulan kanak-kanak. 

Lisa Marie kemudiannya berkahwin dengan pelakon Nicholas Cage, pada tahun 2002. Bagaimanapun, Cage memfailkan perceraian empat bulan kemudian.

Perkahwinan keempatnya adalah bersama pemain gitar dan penerbit muziknya Michael Lockwood. Perceraian mereka dimuktamadkan pada 2021. 

Lisa Marie mempunyai empat orang anak. Anak lelaki tunggalnya, Benjamin Keough, meninggal dunia pada 2020. Anak perempuannya Riley Keough, 33, ialah seorang pelakon. 

Dua lagi anak perempuannya ialah Harper dan Finley Lockwood, 14.