- Iklan -
Dunia

Indonesia bebaskan Umar Patek, pembuat bom letupan Bali

Bekas ahli Jemaah Islamiyah itu disabitkan bersalah membuat bom untuk meletupkan dua kelab malam di Bali, membunuh 202 orang pada 2002.

Reuters
1 minit bacaan
Kongsi
Bekas anggota Jemaah Islamiyah Umar Patek berjalan selepas membaca keterangan pembelaannya di Jakarta Barat pada 31 Mei 2012. Gambar: Reuters
Bekas anggota Jemaah Islamiyah Umar Patek berjalan selepas membaca keterangan pembelaannya di Jakarta Barat pada 31 Mei 2012. Gambar: Reuters

Indonesia membebaskan pembuat bom Umar Patek dengan parol, kata Kementerian Undang-Undang Indonesia pada Rabu.

Patek merupakan bekas anggota Jemaah Islamiyah yang dikaitkan dengan Al Qaeda.

Beliau dipenjarakan selama 20 tahun pada 2012 selepas didapati bersalah membuat bom yang digunakan untuk meletupkan dua kelab malam di Bali yang membunuh 202 orang termasuk 88 warga Australia.

Selepas dibebaskan pada Rabu, Patek dikehendaki menyertai "program mentor" sehingga April 2030, menurut kenyataan kementerian itu. 

Sekiranya terdapat pelanggaran dalam tempoh itu, parolnya akan dibatalkan, tambah kementerian.

Pada Ogos, kerajaan Indonesia berkata Patek layak mendapat parol selepas hukumannya dikurangkan, keputusan yang mencetuskan kecaman daripada keluarga mangsa.

Perdana Menteri Australia Anthony Albanese turut mengkritik pengumuman tersebut, mengatakan beliau bercadang untuk membangkitkan isu tersebut dengan Indonesia.

Patek, yang disabitkan bersalah atas peranannya dalam pengeboman gereja pada 2000, telah diberikan pengurangan hukuman sebagai sebahagian daripada pengampunan yang biasa diberikan kepada banduan bagi menandakan hari kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos.