- Iklan -
Dunia

Pentadbiran Rishi Sunak batal hasrat pindahkan kedutaan UK ke Baitulmaqdis

Jurucakap kerajaan berkata semakan telah dibuat berhubung rancangan yang disuarakan oleh bekas perdana menteri Liz Truss sebelum ini.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, pada 1 April lalu. Gambar: AFP
Penduduk Palestin menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, pada 1 April lalu. Gambar: AFP

Kerajaan baru Britain diketuai Perdana Menteri Rishi Sunak pada Khamis buat masa ini tidak mempunyai sebarang hasrat untuk memindahkan Kedutaan United Kingdom (UK) di Israel dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

Idea itu disuarakan semasa kepimpinan bekas perdana menteri Liz Truss dan beliau mengarahkan semakan mengenai perkara itu dilakukan, lapor Agensi Anadolu.

"Ia telah disemak. Tiada rancangan untuk memindahkan kedutaan Britain," kata jurucakap kerajaan kepada pemberita.

Duta Palestin ke UK, Husam Zomlot mengucapkan terima kasih kepada pepimpinan baru itu dan berpendapat persoalan mengenai lokasi kedutaan UK tidak sepatutnya timbul sejak dari awal lagi.

“Kami menyeru kerajaan British memainkan peranan aktif, mengiktiraf negara Palestin, mengesahkan sokongan UK terhadap hak pelarian Palestin, mengharamkan semua barangan dan produk daripada penempatan di wilayah yang diduduki dan mengenakan sekatan terhadap syarikat yang mengaut keuntungan,” katanya.