- Iklan -
Dunia

Indonesia naikkan cukai eksais rokok untuk kurangkan perokok

Cukai rokok putih dinaikkan kepada 12% dalam ketetapan baru yang diumumkan menteri kewangan Indonesia.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Indonesia turut mengumumkan kenaikan kadar cukai eksais terhadap rokok elektronik dengan kadar purata 15% bagi mengurangkan bilangan perokok muda di negara itu. Gambar: Bernama
Indonesia turut mengumumkan kenaikan kadar cukai eksais terhadap rokok elektronik dengan kadar purata 15% bagi mengurangkan bilangan perokok muda di negara itu. Gambar: Bernama

Kerajaan Indonesia memutuskan untuk menaikkan cukai eksais rokok bertujuan mengurangkan perokok dalam kalangan golongan muda dan meningkatkan kesedaran tentang bahaya merokok pada 2023 dan 2024, kata Menteri Kewangan Sri Mulyani pada Khamis.

Mesyuarat mengenai dasar eksais tembakau yang diketuai Presiden Joko Widodo di Istana Presiden Bogor memutuskan kerajaan akan menaikkan kadar eksais bagi rokok kretek buatan mesin daripada 11.50 kepada 11.75%, rokok putih dari 11 kepada 12% dan rokok gulung pada purata 5%, lapor Xinhua.

Kenaikan kadar eksais juga akan dikenakan terhadap rokok elektronik dengan kadar purata 15%.

“Rokok meliputi penggunaan kedua tertinggi isi rumah miskin bandar iaitu sebanyak 12.21% dan luar bandar sebanyak 11.63%, juga antara punca kematian dan masalah bantut,” kata Mulyani.

Indonesia menyasarkan untuk mengurangkan jumlah perokok dalam kalangan belia berumur 10 hingga 18 tahun dari 9.1% kepada 8.7% pada 2024 menerusi Rancangan Pembangunan Jangka Sederhana Nasional bagi tempoh 2020-2024.