- Iklan -
Dunia

Jambatan runtuh di India bunuh 120 nyawa

Kira-kira 500 orang berada di sekeliling jambatan itu untuk meraikan upacara keagamaan ketika ia runtuh.

AFP
1 minit bacaan
Kongsi
Mangsa berpaut di runtuhan jambatan di Morbi, India pada 30 Oktober. Gambar: Reuters
Mangsa berpaut di runtuhan jambatan di Morbi, India pada 30 Oktober. Gambar: Reuters

Sekurang-kurangnya 120 orang maut di India selepas sebuah jambatan runtuh di Gujarat, di barat negara itu, kata polis pada Isnin.

Pihak berkuasa berkata kira-kira 500 orang berada di lokasi kejadian untuk meraikan upacara keagamaan di sekeliling jambatan berusia 150 tahun di daerah Morbi di barat India ketika kabel menyokong jambatan itu terputus.

Ratusan orang terpaksa terjun ke dalam Sungai Machchhu selepas jambatan itu mula runtuh dan seterusnya tenggelam.

"Kami telah menemui 120 mayat setakat ini. Jumlah korban mungkin akan meningkat apabila operasi mencari diteruskan," kata P Dekavadiya, ketua polis di Morbi, memberitahu AFP melalui telefon dari tempat kejadian.

Beliau turut berkata lebih 130 orang telah diselamatkan.

Jambatan gantung sepanjang 233m dan 1.5m lebar itu dibina pada 1880 oleh penjajah British, menggunakan bahan yang diimport dari England.

Jambatan berkenaan hanya dibuka semula pada Rabu lalu selepas menjalani kerja baik pulih selama tujuh bulan, walaupun belum menerima kelulusan mengesahkan keselamatannya.

"Orang ramai jatuh bertindih sesama mereka ketika jambatan itu runtuh. Orang ramai memenuhi jambatan itu untuk ritual bagi perayaan Diwali. Ramai kanak-kanak dan wanita menjadi mangsa," kata seorang saksi kepada media tempatan.

Laporan berita menunjukkan video orang ramai berpaut pada sisa jambatan atau cuba berenang ke tempat yang selamat dalam gelap.