- Iklan -
Dunia

EU cadang langkah baru tangani peningkatan harga tenaga

Langkah pembelian gas bersama antara negara anggota dan penetapan harga LNG akan adalah antara yang dicadangkan.

Bernama
1 minit bacaan
Kongsi
Depoh gas asli Astora di Jerman merupakan tempat penyimpanan gas terbesar di Eropah Barat. Gambar: Reuters
Depoh gas asli Astora di Jerman merupakan tempat penyimpanan gas terbesar di Eropah Barat. Gambar: Reuters

Suruhanjaya Eropah mencadangkan pakej baru bertujuan meningkatkan kestabilan pasaran gas Eropah.

Pakej itu dibentangkan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen dan Pesuruhjaya Eropah yang lain pada Selasa di Strasbourg, Perancis.

Langkah itu termasuk pembelian gas secara bersama, penetapan harga gas asli cecair (LNG) dan perpaduan tenaga antara negara anggota Kesatuan Eropah (EU), lapor Xinhua.

Von der Leyen juga menekankan keperluan untuk meneruskan usaha menjimatkan gas serta melabur dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.

"Dalam konteks krisis gas semasa, kami bersedia membantu firma yang mahu menyertai konsortium pembelian bersama, tertakluk kepada perlindungan dan selaras dengan peraturan persaingan," kata naib presiden eksekutif Suruhanjaya Eropah Margrethe Vestager.

Matlamat pembelian gas secara bersama adalah untuk mengurangkan bidaan tidak diselaras bagi bekalan gas antara negara anggota, memberi akses lebih adil dan potensi penurunan harga.

Suruhanjaya Eropah juga mencadangkan untuk mewujudkan penanda aras bagi penetapan harga baharu LNG yang lebih mencerminkan realiti pasaran gas semasa berbanding indeks harga Kemudahan Pemindahan Hakmilik (TTF) sedia ada.

"Penanda aras harga semasa tidak lagi disesuaikan dengan harga pasaran yang beralih daripada gas saluran paip kepada LNG.

“Kami akan membangunkan penanda aras baru dan menyediakan mekanisme untuk menghadkan harga gas yang berlebihan dalam masa yang sama," kata von der Leyen.