- Iklan -
Dunia

PM Saudi kebal pendakwaan berhubung pembunuhan Khashoggi, kata peguam

Putera Saudi Mohammed bin Salman mendapat imuniti selepas dilantik menjadi perdana menteri.

Bernama
2 minit bacaan
Kongsi
Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman berucap dalam mesyuarat kementerian di Jeddah, Arab Saudi. Gambar: Reuters
Perdana Menteri Arab Saudi Mohammed bin Salman berucap dalam mesyuarat kementerian di Jeddah, Arab Saudi. Gambar: Reuters

Peguam mewakili Mohammed bin Salman, yang berdepan tuntutan mahkamah AS berhubung pembunuhan wartawan Saudi Jamal Khashoggi pada 2018, memberitahu mahkamah pelantikan putera mahkota itu sebagai perdana menteri minggu lalu memberikan imuniti kepada putera mahkota Arab Saudi itu daripada pendakwaan.

Khashoggi dibunuh dan tubuhnya dikerat oleh agen Saudi di konsulat negara itu di Istanbul dalam operasi yang dipercayai perisikan AS ia diarahkan oleh Mohammed, yang kini menguasai pentadbiran kerajaan negara itu sejak beberapa tahun lalu.

Bagaimanapun, Mohammed menafikan penglibatannya dalam pembunuhan Khashoggi, namun mengakui ia berlaku "di bawah pengawasan saya."

Minggu lalu, Raja Salman menamakan Mohammed sebagai perdana menteri dalam titah diraja yang dilihat selari dengan tanggungjawab yang digalas oleh putera mahkota itu.

“Titah diraja menetapkan putera mahkota berhak mendapat imuniti berdasarkan status," kata peguam bagi putera raja itu dalam petisyen yang meminta mahkamah AS menolak kes itu, memetik kes lain di mana AS mengiktiraf kekebalan yang dinikmati ketua negara asing.

Khashoggi, yang mengkritik dasar putera mahkota itu dalam artikel yang diterbitkan Washington Post, direkodkan pergi ke konsulat Saudi di Istanbul bagi urusan perkahwinannya dengan Hatice Cengiz, seorang warga Turki.

Tuntutan di AS itu difailkan oleh Cengiz dan kumpulan hak asasi manusia yang diasaskan oleh Khashoggi, selain menuntut ganti rugi. 

Ia juga menamakan lebih 20 warga Saudi lain sebagai defendan bersama.

Ia mendakwa bahawa Mohammed atau lebih dikenali sebagai MbS, dan defendan lain melakukan komplot untuk "mendiamkan Khashoggi selama-lamanya” selepas mendapati beliau merancang untuk menggunakan kumpulan itu sebagai "platform untuk menyokong reformasi demokrasi dan mempromosikan hak asasi manusia."

Mahkamah telah meminta Jabatan Kehakiman AS menyatakan pandangan sama ada Mohammed mempunyai imuniti, menetapkan tarikh akhir 3 Oktober untuk maklum balas.

Selepas pelantikan putera raja sebagai perdana menteri minggu lalu, jabatan itu berkata ia memohon lanjutan 45 hari untuk menyediakan jawapannya kepada mahkamah berhubung perkembangan terbaru itu.